suria

PLUS Tawar Pengguna Berkereta Rebat Tol 50 Peratus

KUALA LUMPUR: Pengguna kenderaan Kelas 1 (kereta atau kenderaan dua gandar) yang membayar tol secara elektronik berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 50 peratus untuk perjalanan selepas tengah malam di dua rangkaian lebuh raya PLUS pada musim perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata rebat itu akan diberi kepada penguna rangkaian Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) pada 27 dan 30 Januari serta pada 3 dan 4 Februari.

Rebat diberikan untuk perjalanan mulai pukul 12 tengah malam sehingga pukul 6 pagi pada hari-hari yang ditetapkan itu. 

PLUS berharap tawaran rebat itu dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas sebelah pagi di kedua-dua rangkaian lebuh raya PLUS itu kerana kenderaan di lebuh raya itu dijangka meningkat kepada 1.6 juta, berbanding 1.4 juta pada hari biasa, katanya pada sidang akhbar selepas taklimat persediaan PLUS bersempena Tahun Baharu Cina di Persada Plus, di sini, Rabu.

Beliau berkata pada tarikh-tarikh itu, pengguna sistem bayaran elektronik masih perlu membuat bayaran tol seperti biasa, tetapi rebat itu akan dimasukkan ke dalam kad Touch 'n Go atau kad PLUSMiles masing-masing apabila mereka menambah nilai kad mereka dalam tempoh empat bulan iaitu antara 15 Feb 2017 sehingga 14 Mei 2017 di pusat khidmat pelanggan di lebuh raya PLUS.

"Kami berharap strategi ini dapat menarik lebih ramai untuk bergerak pada waktu malam dan secara tidak langsung membantu melancarkan lagi perjalanan orang ramai pada waktu puncak," katanya.

Selain itu, Azman berkata PLUS juga telah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi lebuh raya itu terutamanya pada hari puncak iaitu antara 26 hingga 31 Januari serta 4 dan 5 Februari ini.

"Kami menasihati orang ramai menggunakan jadual TTA kerana berdasarkan kajian, ia membantu melancarkan perjalanan dan PLUS juga akan menugaskan 2,130 kakitangan di plaza tol," katanya.

Selain itu, PLUS juga menambah jumlah pasukan dan rondaan, menempatkan pasukan bantuan kecemasan dan menyediakan trak tunda tambahan di lokasi terpilih.

Untuk perkembangan terkini dan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari Twitter PLUSTrafik, aplikasi PLUS Mobile Apps atau menghubungi talian PlusLine 1800-88-0000.-- Bernama




Plus, tol

Artikel Lain