KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini menegaskan bahawa pencarian pesawat MH370 Malaysia Airlines tidak dihentikan terus. Beliau berkata operasi itu digantung sementara menunggu penemuan bukti baharu yang berwibawa. "Sekiranya ada sebarang bukti baharu yang berwibawa, kami akan meneruskan pencarian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keretapi Berkelajuan Tinggi Malaysia-Perancis di sini pada Khamis. Liow berkata beliau akan berada di Perth, Australia pada Ahad ini untuk menyambut Fugro Equator, kapal terakhir yang akan berlepas ke kawasan pencarian di selatan Lautan Hindi. "Saya akan berada di sana untuk mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan mendengar pandangan pakar berhubung langkah kita yang berikutnya. "Ia bukanlah pemberhentian yang kekal, sebaliknya hanya penggantungan sementara menunggu bukti baharu yang berwibawa," katanya seperti dilaporkan Bernama. Liow berkata kerajaan Malaysia, Australia dan China akan meneruskan perbincangan bersama pakar dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines yang hilang daripada paparan radar semasa dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014, bersama 239 penumpang dan anak kapal. Selasa lepas, mereka mengeluarkan kenyataan bersama untuk mengumumkan bahawa pencarian itu digantung selepas melakukan operasi meliputi kawasan seluas 120,000 km persegi di selatan Lautan Hindi namun gagal mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu.