suria

Himpunan RUU355 Kekal Di Dataran Merdeka - Tuan Ibrahim

PETALING JAYA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan Sekretariat Himpunan RUU355 untuk mengadakan perhimpunan pada 18 Februari ini di Dataran Merdeka.

Pengerusi Himpunan RUU355, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu dimaklumkan DBKL menerusi surat bertarikh 13 Januari lalu.

"Dalam penolakannya, DBKL langsung tidak memberikan sebarang hujah mengapa permohonan kami ditolak. 

"Pihak kami akan membuat rayuan bagi meneruskan Himpunan RUU355 di Dataran Merdeka," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Kata Timbalan Presiden PAS itu, pihaknya menggesa DBKL supaya menimbang semula permohonan itu dan sekretariat berkenaan akan memastikan himpunan berjalan dengan penuh tertib dan tenang. 

"Himpunan berkenaan perlu diadakan di Dataran Merdeka kerana ia satu sejarah rakyat negara ini yang cintakan keamanan dan keharmonian dalam kehidupan berpaksi kepada sikap hormat menghormati antara kaum dan agama bagi mengamalkan tuntutan agama setiap penganutnya.

"Sekretariat memberi jaminan bahawa himpunan ini akan menyerlahkan bentuk himpunan aman sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman," katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya akan menyediakan 2,000 petugas dan sukarelawan bagi memastikan himpunan ini berjalan dengan penuh tertib sebagaimana yang dirancang. 

RUU355, Dataran Merdeka, Tuan Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain