PORT DICKSON: Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan bahawa MCA pernah meminta jawatan timbalan perdana menteri seperti yang didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad. Perdana Menteri berkata sepanjang beliau memegang jawatan nombor satu negara, tidak pernah sekalipun parti komponen Barisan Nasional (BN) itu meminta diberi jawatan nombor dua negara dan jawatan Menteri Kewangan. "Baru-baru ini didedahkan bahawa DAP meminta minta jawatan TPM dan Menteri Kewangan, bila orang Melayu dah naik marah, dia kata MCA pula. Sejak saya jadi PM, tak pernah MCA minta jawatan TPM. Ini satu pembohongan. "Saya nafikan dan saya minta MCA juga menafikan. MCA dah dapat tiga jawatan menteri pun dia dah berterima kasih. Jangan banyak sangat U-turn," kata Najib, yang menyifatkan bekas perdana menteri itu sebagai 'jaguh U-turn' kerana sering mengubah pendirian dalam beberapa kenyataan yang dikeluarkannya. Najib berkata demikian dalam ucapan sambutan ulang tahun ke-60 Kelab Bell Belia Tamil Malaysia di Dewan The Grand, Lukut di sini, Ahad.