suria

Sistem Bayaran Pukal Kurangkan Beban Kos Perubatan

PETALING JAYA: Seiring cadangan dan kajian Kementerian Kesihatan, pihak doktor sedang meneliti pelaksanaan sistem 'bundle' (bayaran pukal) di klinik-klinik bagi tujuan mengurangkan kos perubatan.

Pengamal perubatan umum akan menggunakan sistem ini untuk memastikan keselamatan dan penjagaan yang lebih baik terhadap pesakit, serta caj yang dikenakan adalah adil, telus dan seragam, kata Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai kepada Sunday Star.

Beliau berkata kumpulan pengamal ini dalam perbincangan dengan kementerian untuk mengenakan caj mengikut keseriusan kes dan tempoh masa yang dihabiskan dengan pesakit.

Katanya, kes yang mudah, sederhana dan kompleks akan mempunyai kadar yang berbeza, sambil menambah bahawa rundingan bayaran secara pukal, diagnosis dan rawatan, akan dapat mengurangkan kos perubatan secara keseluruhan.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah mencadangkan supaya penyakit biasa diletakkan dalam sistem ini untuk memudahkan prosedur dan mengawal kos.

Mereka bekerjasama dengan Pentadbir Pihak Ketiga dan syarikat insurans untuk menyeragamkan bayaran dan harga ubat-ubatan, kata Presiden MMA Dr John Chew.

Naib Presiden  Persatuan Pengamal Perubatan Premier Malaysia (MPCAM) Dr Raj Kumar Maharajah baru-baru ini berkata latihan simulasi sistem ini ke atas lebih 130 kes biasa di klinik-klinik pengamal perubatan umum telah menunjukkan kos keseluruhan yang lebih rendah untuk hampir 80 peratus lawatan pesakit.

Jika lebih banyak penyakit berjaya diuruskan di peringkat penjagaan primer, kos penjagaan kesihatan dan premium insurans akan menjadi rendah kerana ia akan menghalang lawatan hospital yang tidak perlu, katanya.

Bulan lalu Dr Jeyaindran memberitahu Sunday Star bahawa garis panduan baharu itu mencadangkan ujian dan siasatan akan hanya dibuat ke atas 10 penyakit utama sahaja.

Sebagai contoh, ujian 'bundle' akan disyorkan untuk radang paru-paru, kencing manis, sakit dada dan kegagalan jantung, kerana ia merupakan punca pesakit dimasukkan ke wad.

Sistem 'bundle' merujuk kepada  penjagaan dan kos yang disediakan untuk pesakit sepanjang tempoh rawatan.

Pada Isnin, MPCAM telah bertemu dengan kementerian bagi membincangkan tentang peningkatan peranan GP yang menyediakan lawatan ke rumah dalam keadaan kecemasan dan untuk warga tua.

Beliau menambah bahawa bayaran profesional untuk doktor perlu dinaikkan.

Katanya, dengan perbelanjaan yang semakin meningkat, kadar penggunaan, ubat-ubatan, peralatan perubatan, gaji kakitangan dan yuran pelesenan, pengamal perubatan umum yang berdiri sendiri sedang bergelut untuk terus bertahan, sambil menambah ramai juga yang terpaksa gulung tikar.

"Harga ubat meningkat setiap enam bulan tetapi bayaran mereka tidak naik selama beberapa dekad kerana simpati kepada pesakit."

Di negara-negara seperti Australia dan Afrika Selatan, bayaran perundingan adalah antara RM100 dan RM250, tidak termasuk ubat-ubatan.

Di sini, bayaran perundingan serta ubat adalah RM50, katanya.

Dr Chew berkata yuran pengamal perubatan umum perlu dikaji semula kerana Indeks Harga Pengguna telah meningkat sebanyak 40 mata dalam tempoh 20 tahun yang lalu.

Kemudian wujud pula GST di mana mereka tidak boleh memindahkannya kepada pesakit dan peningkatan liabiliti perubatan premium insurans.

Pada tahun 2012, Kabinet meluluskan kenaikan yuran 14.4 peratus di bawah pindaan Jadual 13 Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Jagaan Kesihatan Swasta 2006.

Tetapi, semakan yuran itu adalah untuk pakar, bukan pengamal perubatan umum.

Bayaran untuk mereka masih berdasarkan Jadual Bayaran MMA 1997.

"Walaupun kadar maksimum RM25 boleh dikenakan, GP hanya mengenakan bayaran antara RM10 hingga RM15 supaya tidak membebankan rakyat."

MPCAM mencadangkan agar GP dibenarkan untuk mengenakan bayaran antara RM30 dan RM125, bergantung kepada masa yang diambil dengan pesakit dan tahap keseriusan masalah perubatan.

"Tetapi walaupun dengan bayaran GP lebih tinggi, pesakit tidak perlu membayar lebih jika kita menyeragamkan harga ubat dan melaksanakan sistem bundle," katanya.

Dr Jeyaindran berkata kementerian sedang mengkaji semakan bayaran yang dicadangkan.

Beliau, bagaimanapun, memberi jaminan kepada pesakit bahawa mereka tidak perlu membayar lebih walaupun bayaran telah disemak semula.

"Apa yang mereka minta tidak terlalu tinggi.

"Ia selaras dengan bayaran yang telah dikenakan profesional lain," katanya.

Artikel Sebelum

Solidariti Pemandu Lori

Artikel Berikut

Artikel Lain