PETALING JAYA: Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan sekumpulan tiga lelaki mengasari seorang pengawal keselamatan di pondok pengawal di sebuah kondominimum di Bukit Antarabangsa, Ampang. Bagaimanapun, tidak dipastikan sama ada ketiga-tiga lelaki itu merupakan antara yang menyerang dua pemandu lori di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ampang pada 14 Januari lalu. Bagaimanapun, rakaman dua video berkenaan menunjukkan persamaan, dari segi warna kereta yang diletakkan di hadapan penghadang besi, dekat pembahagi jalan warna kuning. Klip video berdurasi 56 saat itu dikongsikan oleh twitter badan bukan kerajaan anti jenayah, MyWatch pada Ahad malam, menunjukkan tiga lelaki dalam keadaan marah bercakap dengan seorang pengawal keselamatan. Seorang lelaki berbaju biru, bertopi dan berkaca mata hitam sedang mengheret pengawal keluar dari pondok pengawal. Dia kemudiannya menendang pengawal keselamatan dan menolaknya. Dalam insiden pada 14 Januari lalu, pemandu lori, Nasrul Faiz Zulfahmi parah dipukul di kondominimum selepas dia didakwa terlanggar kereta mewah Mercedes-Benz yang diletakkan di belakang kenderaannya. Ia menyebabkan plat nombor pendaftaran Mercedez-Benz terjatuh dan terdapat beberapa kesan calar pada kereta berkenaan. Pemuda berusia 25 tahun itu kemudian ditendang dan diserang oleh beberapa lelaki mengakibatkan kecederaan parah. Kumpulan yang menyerang mangsa turut memberi amaran kepada pengawal keselamatan di kondominium supaya tidak campur tangan. Rakaman membabitkan serangan tersebar menjadi viral. Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata, lima individu termasuk seorang wanita ditahan pada Ahad di Kepong, Kajang dan Negeri Sembilan berikutan insiden serangan. Mohd Fuad berkata, kelima-lima mereka dalam lingkungan 20an dan 30an direman selama empat hari.