suria

Dr Mahmud Ketuai Sel Baharu Pengganas Di Sabah

KUALA LUMPUR: Sabah kini menjadi lokasi sasaran pengganas yang diketuai militan pelarian, Dr Mahmud Ahmad menerusi kerjasama dengan Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) untuk merekrut anggota di rantau ini.

Sel baharu yang dibentuk di Sabah menjadi pusat transit untuk anggota baharu dari Semenanjung Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan Rohingya dari negari Rakhine untuk dibawa ke Marawi City di selatan Filipina.

Marawi City dikuasai ASG yang diketuai Isnilon Hapilon.

Kegiatan Dr Mahmud terbongkar susulan penahanan tiga lelaki warga asing, masing-masing seorang dari Filipina dan dua warga Bangladesh bersama wanita rakyat Malaysia  yang menjadi anggota sel berkenaan.

Suspek terlibat ditahan dalam serbuan polis  Anti Keganasan Cawangan Khas  di Sabah dan ibu negara pada 13 Januari dan 19 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, sel baharu Dr Mahmud yang juga bekas pensyarah Universiti Malaya itu hasil gabungannya dengan ASG.

"Seperti Dr Mahmud, Isnilon juga berbaiyah dengan pemimpin IS, Abu Bakar Al-Baghdadi. Selain Dr Mahmud, dua lagi ahli sel berkenaan adalah anggota Darul Islam Sabah, Amin Bacho dan Joraimee Awang," katanya.

Menurutnya, semua suspek berumur 27 hingga 31 tahun, sekali gus melumpuhkan satu sel baharu pengganas Daesh yang merancang untuk menjadikan Sabah sebagai transit oleh anggota pengganas dari rantau Asia Tenggara dan Asia Selatan bagi tujuan menyusup masuk ke Filipina.

Menurutnya, suspek pertama, lelaki Filipina berumur 31 tahun dan bekerja sebagai penjual jam ditahan di Kota Kinabalu pada 13 Januari lepas, adalah anggota sel (kumpulan) pengganas Daesh.

"Suspek yang berbaiah dengan Dr Mahmud Ahmad telah diarah untuk merekrut dan mengatur penyusupan masuk anggota-anggota baharu Daesh dari Malaysia, Indonesia, Bangladesh dan etnik Rohingnya ke selatan Filipina bagi tujuan menyertai kumpulan Daesh di Marawi City, Mindanao di Filipina," katanya.

Menurut Khalid, suspek kedua ialah seorang wanita tempatan berusia 27 tahun yang turut ditahan bersama suspek pertama di Kota Kinabalu. 

"Suspek (wanita) yang tidak mempunyai pekerjaan berasal dari Selangor dan telah direkrut pada awal bulan ini melalui media sosial," katanya. 

Beliau berkata, wanita itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 13 Januari lepas untuk bertemu suspek pertama di Kota Kinabalu sebelum mereka dipercayai merancang untuk berlepas ke Sandakan sebelum menyusup masuk ke selatan Filipina. 

Menurutnya, dua lagi suspek terdiri warga Bangladesh berusia 27 dan 28 tahun yang bekerja sebagai jurujual dan direkrut oleh suspek pertama ditangkap di sini pada 19 Januari lepas.

"Mereka berdua disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Daesh yang beroperasi di Bangladesh," katanya. 

Katanya, kesemua suspek itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA - kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). 


Dr Mahmud, Universiti Malaya, Daesh, IS

Artikel Sebelum

Artikel Lain