KUALA LUMPUR: Polis sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi berhadapan sebarang kemungkinan ancaman pengganas, termasuk yang menyasarkan pemimpin tertinggi negara. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, ancaman seumpama itu dilihat sesuatu yang berbahaya kepada negara, sekali gus diberi keutamaan oleh pasukannya. "Masih ada ancaman terhadap pemimpin negara tetapi pasukan kami sentiasa memantau secara rapi. "Jika adanya ancaman, tentu kita bimbang tetapi pada masa sama cuba menanganinya," katanya pada sidang media pada Rabu. Pada November 2015, laporan pihak risikan mendapati beberapa pemimpin Malaysia antara yang menjadi sasaran militan Negara Islam (IS). Antara pemimpin terlibat adalah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan anggota kanan Kabinet negara. Pada Julai 2016 pula, Penolong Pengarah Bahagian Anti Keganasan Bukit Aman, Deputi Komisioner Datuk Ayob Khas menerima ancaman bunuh menerusi panggilan telefon daripada militan IS, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi. Bagaimanapun, Khalid memberi jaminan bahawa pihaknya terutama bahagian anti keganasan itu tidak akan berkompromi dalam melaksanakan tugas untuk membanteras kegiatan militan. Beliau berkata, pihaknya akan sentiasa mengesan individu yang terlibat dalam kegiatan yang mempunyai kaitan dengan IS di negara ini. "Apa yang berlaku di negara lain, kita tidak mahu ia berlaku di Malaysia. Kita akan sentiasa melaksanakan langkah proaktif untuk memerangai Daesh," katanya.