KANGAR: Seorang anggota polis cedera pada ibu jari tangan setelah seorang petani yang mengamuk dan menyerang sepasukan anggota polis dengan mesin pemotong rumput di Kampung Behor Empiang di sini, Rabu. Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Deputi Superitendan Zaini Talib berkata, kejadian berlaku kira-kira 4.45 petang apabila petani berkenaan yang menyedari kehadiran anggota polis di rumahnya membaling pisau serta menghalakan mesin pemotong rumput yang enjinnya dihidupkan ke arah polis. "Polis ke rumah lelaki itu kerana dia disyaki telah membahayakan keselamatan isterinya dengan menyimbah minyak petrol pada kereta isterinya. "Dia mengguna pelbagai cara untuk menghalang pihak termasuk menggunakan sebuah bom malatov cocktail yang dibakar dan dibaling ke arah polis," katanya kepada pemberita, Khamis. Zaini berkata suspek juga telah menyimbah minyak petrol dari dalam rumahnya ke bahagian hadapan pintu rumah dan sekitar kawasan rumahnya melalui tingkap bagi menghalang polis masuk ke rumah dan menghampirinya. Katanya usaha memujuk suspek agar menyerah diri berterusan hampir lima jam dan polis terpaksa bertindak mengepung dan memecah pintu hadapan serta belakang rumah suspek. "Semasa kejadian isteri mangsa tiada di rumah. Usaha menahan suspek turut dihalang oleh adik lelaki suspek yang menolak anggota polis manakala anak perempuannya yang berusia 18 tahun turut mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis," katanya. Beliau berkata suspek akhirnya berjaya ditahan setelah berlaku pergelutan antara suspek, adik dan anaknya dengan anggota polis. Dia kini direman selama tujuh hari manakala adik dan anaknya direman sehari. Zaini berkata suspek turut didapati positif syabu dan tidak mempunyai rekod jenayah. Turut dirampas daripada suspek ialah pelbagai senjata seperti kapak panjang, pisau, parang panjang, tukul besi, senapang angin buatan sendiri, mesin rumput dan botol kaca berisi petrol bersumbu kertas. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera, Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh orang, Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1858 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960.-- Bernama