suria

Masak Kerang Hitam Dengan Sempurna Elak Keracunan

Orang ramai terutama sekitar Kuantan 'menyerbu' Pantai Batu Hitam untuk mencari kerang pada 27 Januari 2017. - BERNAMA

KUANTAN: Orang ramai yang mengambil kerang dari Pantai Batu Hitam, Balok di sini, dinasihati memasak hidupan laut itu dengan sempurna untuk mengelakkan keracunan.

Pengarah Jabatan Perikanan negeri Datuk Adnan Hussain berkata walaupun secara umumnya kerang terbabit selamat dimakan, orang ramai perlu mengambil langkah berhati-hati sebelum memakan hidupan laut tersebut.

"Hari ini (Jumaat) pihak Makmal Biosekuriti Perikanan Kuantan datang mengambil sampel kerang terbabit untuk membuat kajian awal tentang kandungannya.

"Dijangkakan keputusan diperoleh dalam tempoh seminggu lagi, justeru kita minta orang ramai yang mengutip kerang ini agar memasaknya dengan sempurna," katanya kepada pemberita selepas mengambil sampel kerang di pantai berkenaan.

Kata Adnan setakat ini pihaknya juga tidak menerima sebarang aduan keracunan bersabit kerang berkenaan.

Beliau berkata pergerakan air pasang besar baru-baru ini mungkin telah menghanyutkan kerang tersebut yang lazimnya ditemui di kawasan berlumpur di pantai barat Semenanjung.

Pada Khamis, penduduk di sekitar Kuantan dikejutkan dengan "lautan" kerang yang terdampar di Pantai Batu Hitam menyebabkan ramai yang mengambil kesempatan mengutip makanan laut itu sebaik berita mengenainya tular menerusi laman sosial.

Tinjauan Bernama pada Jumaat mendapati bilangan mereka yang datang mencari kerang tersebut bertambah.

Sementara itu, seorang penduduk Kamaruddin Razak, 40, yang ditemui yakin kerang yang ditemui terdampar di pantai berkenaan selamat untuk dimakan.

"Saya rasa tidak ada masalah sebab kerang ini nampak segar, datang dari laut pun sebab ditolak oleh ombak. Jadi saya rasa kalau masak sempurna mungkin tidak ada masalah," katanya.

Kerang Hitam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan