suria

'Syukur Kakak Dan Adik Sudah Ada Kad Pengenalan'

GAMBAR HIASAN

KUANTAN: Perkhidmatan mobile ehsan Jabatan Pendaftaran Negara di Pahang membawa berita gembira kepada seorang wanita yang mempunyai dua adik beradik Orang Kurang Upaya (OKU) dengan mengeluarkan MyKad untuk mereka di rumahnya pada Jumaat.

"Syukur mereka sudah ada kad pengenalan yang akan memudahkan urusan mereka selepas ini, saya tidak lagi bimbang jika ditakdirkan saya pergi dahulu,"  kata Rohani Ahmad, 49.

Kakaknya Sabiah, 61, dan adiknya Azman, 47, merupakan OKU yang menghidap penyakit mental dan sukar keluar rumah untuk sesuatu urusan.

Beliau berkata Sabiah pernah memiliki kad pengenalan bertulis tangan yang ditamatkan penggunaannya pada 1960 manakala kad pengenalan Azman telah lama rosak tanpa diganti baharu kerana beliau enggan ke pejabat JPN. 

"Kami pernah beberapa kali cuba memujuk kakak dan adik untuk membuat kad pengenalan baharu, tapi mereka tidak mahu. Mereka tidak boleh dipaksa kerana sebelum ini pernah ada insiden mengamuk sehingga cuba mencederakan orang," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Rohani berkata demikian selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Pahang Datuk Shafik Fauzan Sharif dan Pengarah JPN Pahang Julizawati Kamarudin yang menyampaikan MyKad itu di rumahnya di Kampung Belukar di sini.

Rohani bersyukur apabila usahanya mendapatkan MyKad untuk Sabiah dan Azman dipermudahkan menerusi perkhidmatan mobile ehsan JPN itu.

"Mereka datang ke rumah pada 10 Jan lalu dan hari ini sudah datang serahkan kad pengenalan. Sebenarnya saya agak terkejut bila mereka beritahu hendak datang hari ini (Jumaat) kerana agak cepat (MyKad itu disiapkan)," katanya.

Sementara itu, Julizawati berkata perkhidmatan mobile ehsan JPN Pahang bertujuan memastikan semua warganegara mempunyai MyKad dan telah membantu 68 individu khususnya golongan OKU mendapatkan MyKad sepanjang 2016.

Tahun lalu JPN Pahang melaksanakan 92 program khidmat bantuan khususnya di kawasan pendalaman dan petempatan Orang Asli dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), sehingga membolehkan 611 individu mendapat MyKad. 

"Kita mahu masyarakat sedar JPN sentiasa bersedia membantu mereka mendapatkan kad pengenalan. Jika mempunyai masalah untuk ke pejabat JPN, mereka boleh mendapatkan perkhidmatan mobile ehsan. 

"Kebanyakan mereka yang terlibat adalah golongan OKU. Jadi saya minta kerjasama penjaga dan anggota keluarga untuk memaklumkan JPN supaya kami boleh menyusun masa untuk ke rumah mereka," katanya. 

Julizawati berkata dengan memiliki MyKad juga akan memudahkan golongan ini menerima bantuan daripada kerajaan.

OKU, Kad Pengenalan, JPN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain