suria

Dua Penjenayah Dikehendaki Ditembak Mati

GAMBAR HIASAN

JOHOR BAHRU: Dua penjenayah yang dikehendaki polis ditembak mati di ladang kelapa sawit dekat Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi awal pagi Jumaat.

Kedua-dua lelaki warga asing berusia dalam lingkungan 30-an itu dipercayai terlibat dalam kes samun dan bunuh di Mersing pada September tahun lalu dan di Taman Scientex Pasir Gudang, Januari tahun ini.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Zakaria Ahmad berkata ketika kejadian pada 2.30 pagi itu, sepasukan anggota polis yang sedang melakukan rondaan Ops Rantau mencegah jenayah di Jalan Jemeluang menghala ke Mersing, berselisih dengan dua suspek, yang menunggang motosikal tanpa topi keledar dan kelihatan mencurigakan.

Beliau berkata anggota polis bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen Johor itu kemudian meminta mereka berhenti untuk diperiksa, namun suspek bertindak melarikan diri ke satu lorong ladang kelapa sawit di kawasan berhampiran.

"Motosikal tersebut kemudian terbabas dan kedua-dua suspek terjatuh. Anggota polis meminta mereka menyerah diri namun seorang daripada suspek bertindak melepaskan tembakan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Zakaria berkata anggota polis berkenaan bertindak mempertahankan diri dan membalas tembakan menyebabkan seorang suspek maut di tempat kejadian.

"Seorang lagi suspek bertindak meluru ke arah anggota polis sambil menghayun parang yang anggota terbabit tiada pilihan kecuali melepaskan tembakan," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas suspek tidak menjumpai sebarang dokumen pengenalan diri, namun pihak polis percaya kedua-dua suspek berasal dari Indonesia.

Katanya, pemeriksaan ke atas motosikal jenis Honda Wave dinaiki suspek pula mendapati ia dilaporkan hilang dalam satu kes samun di Mersing, September tahun lepas apabila mangsa samun tersebut dibunuh menggunakan senjata tajam.

"Kami turut menemukan beberapa alat dipercayai digunakan untuk memecah rumah seperti pemotong besi dan besi penyungkil, selain sepucuk pistol buatan sendiri, dan empat telefon bimbit," katanya.

Katanya, pihaknya percaya suspek sedang dalam perjalanan untuk melakukan samun di kawasan perumahan berhampiran.

Mayat kedua-dua suspek dibawa ke Hospital Kota Tinggi, katanya.

Penjenayah, Tembak

Artikel Sebelum

Teksi Mini Ganti Dego Ride?

Artikel Berikut

Artikel Lain