PETALING JAYA: Seorang pemuda yang dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Broga, Semenyih pada Ahad lepas telah ditemui pada pagi Sabtu. Mangsa Mohd Azarul Mukriz Abd Rahman, 20, ditemui dalam keadaan selamat. Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan berkata, Mohd Azarul ditemui pada kira-kira 11.45 pagi Sabtu oleh pasukan mencari dan menyelamat di "Puncak 3" Bukit Broga. Gambar ihsan pengguna Twitter. "Dia berada dalam keadaan stabil tetapi sangat lemah. "Dia telah dihantar ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan kesihatan lanjut," katanya. Sebelum ini mangsa ke bukit berkenaan bersama-sama lima lagi rakannya sebelum dilaporkan hilang. Laporan sebelum ini menyebut, operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan untuk mengesan pemuda yang kehilangannya disedari rakan-rakannya kira-kira pukul 6 petang, Ahad lalu.