suria

Penunggang, Pembonceng Motosikal Catat Jumlah Tertinggi Maut - Polis

Gambar Hiasan.

TAPAH: Penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan jumlah tertinggi yang maut dalam kemalangan di seluruh negara bagi tempoh tujuh hari Op Selamat 10 dijalankan sejak 21 Januari lepas bersempena perayaan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Mahamad Akhir Darus berkata dalam 95 kes kemalangan maut yang dilaporkan dalam tempoh itu, 59 terdiri daripada penunggang dan pembonceng manakala 25 kematian membabitkan pemandu dan penumpang kereta.

Katanya analisis awal mendapati antara faktor kemalangan disebabkan pemanduan tidak cekap, salah membuat pertimbangan sebelum mengambil tindakan semasa di jalan raya, tabiat suka mencelah atau menghimpit kenderaan lain serta kurang memberi tumpuan. 

Bagaimanapun, jumlah kemalangan maut menurun kepada 95 kes sepanjang tujuh hari itu berbanding 123 kes dalam tempoh sama pada tahun lepas, katanya dalam sidang media mengenai Op Selamat 10/2017 di kawasan Rehat dan Rawat Tapah (arah Utara) di sini, hari ini. Op Selamat 10 akan berakhir pada 5 Februari.

"Trend penurunan kemalangan maut dan kematian menunjukkan Op Selamat kali ini lebih fokus dan agresif serta memberi kesan positif kepada pengguna jalan raya. Ini menunjukkan polis menjalankan tugas dengan sebaiknya," katanya.

Menurutnya walaupun kes kemalangan maut mencatatkan penurunan namun kes kemalangan jalan raya meningkat enam peratus atau 642 kes dalam tempoh tujuh hari itu dengan sejumlah 11,440 kes berbanding tempoh sama tahun lepas.

Mahamad Akhir berkata sebanyak 103,856 saman melibatkan pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sejak operasi itu dilancarkan iaitu menurun sebanyak 20 peratus berbanding 129,871 saman bagi tempoh yang sama pada tahun lepas.

Katanya, daripada jumlah itu, polis mengeluarkan 68,146 saman menerusi notis kesalahan lalu lintas yang dikesan dalam rakaman kamera manakala 26,494 saman dikeluarkan anggota trafik dan selebihnya adalah saman yang ditukar daripada notis kesalahan kepada saman. 

"Sepanjang tujuh hari lepas, saman yang paling banyak dikeluarkan adalah bagi kesalahan memandu melebihi had laju iaitu 49,611, kesalahan memotong barisan (1,997) dan tidak mematuhi lampu isyarat (1,628)," katanya.-- Bernama

Artikel Lain