KUANTAN: Seorang kanak-kanak berusia setahun lapan bulan menjadi korban pertama banjir di Pahang setelah ditemui lemas berhampiran rumahnya di Kampung Medang Hilir Sabtu malam. Ketua Polis Daerah Pekan Superitendan Amran Sidek berkata Siti Nurdarwisyah Abdul Rahman yang hilang pada 7.22 malam, ditemui tersangkut di celah pokok berhampiran rumah oleh anggota keluarga yang keluar mencarinya setengah jam sebelum itu. "Bapa mangsa Muhammad Firdaus Sazali, 24, menyedari anak tunggalnya itu tiada di dalam rumah sebelum meminta jirannya membantu mencari di luar rumah yang telah dinaiki air kira-kira satu meter," katanya kepada pemberita di sini, Ahad. Amran berkata bapa mangsa mengesyaki anaknya terjatuh ke dalam air selepas mendapati pintu rumah terbuka. "Semasa kejadian Muhammad Firdaus dan isteri serta bapa dan ibu mentua dan adik iparnya berada di dalam rumah itu," katanya. Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Pekan menaiki kenderaan polis untuk rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia pada 9.17 malam dan bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas.-- Bernama