suria

Rakyat Malaysia Tidak Terjejas - Kedutaan AS

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia tidak terjejas susulan perintah eksekutif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengarahkan sekatan sementara terhadap pelarian dan warga asing dari tujuh negara Islam.

Seorang jurucakap dari Kedutaan AS menjelaskan bahawa rakyat Malaysia tidak terjejas dengan perintah tersebut.

"Rakyat Malaysia tidak terjejas dengan perintah eksekutif itu. Rakyat Malaysia boleh meneruskan perjalanan mereka ke Amerika Syarikat dengan visa yang sah," jelas jurucakap tersebut dalam pesanan teks pada Ahad.

Tambah jurucakap itu, kerajaan AS komited untuk memudahkan perjalanan yang sah untuk pelawat antarabangsa namun pada masa sama mengawal keselamatan di sempadan.

Menurut jurucakap berkenaan, perintah imigresen itu membolehkan kerajaan AS untuk mengkaji semula prosedur saringan bagi mengawal keselamatan negara.

Jumaat lalu, Trump menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan sekatan bagi pelarian serta-merta.

Dalam masa 90 hari, ia turut melarang pengeluaran visa untuk warga asing dari enam negara Islam yang dikaitkan mengenai kebimbangan terhadap keganasan.

Enam negara tersebut adalah Iraq, Iran, Sudan, Libya, Somalia dan Yaman.

Donald Trump

Artikel Lain