Hakim Datuk Abdul Halim Aman menjatuhkan hukuman itu selepas meneliti semua keterangan dan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pendakwaan.
Pada 15 Disember 2013, kedua-dua tertuduh yang ketika itu berumur 17 tahun dengan niat bersama telah membunuh M. Monowaru Islam, 28, di satu lokasi di Seksyen 20, di sini pada kira-kira 7 pagi.
Perbuatan kedua-dua lelaki itu boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
"Menurut undang-undang, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 melarang hukuman mati namun kedua-dua tertuduh tetap disabitkan dengan kesalahan tersebut.
"Mahkamah memutuskan sedemikian apabila pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah selain pembelaan terhadap kedua-dua tertuduh bersifat penafian semata-mata dan keterangan pembelaan tiada kebenarannya," katanya.
Sejumlah 19 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Rosidah Abu Bakar manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Gabriel Susayan.