PETALING JAYA: MCA menggesa parti pembangkang untuk menghentikan amalan berpolitik secara melampau terutamanya semasa sambutan perayaan atau kebudayaan. MCA berkata sedemikian susulan spekulasi yang mendakwa penari tarian singa enggan membuat persembahan untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada majlis rumah terbuka anjuran Gerakan sempena Tahun Baharu China. "Menjadi kebiasaan dalam tarian singa, ada detik-detik tertentu tarian terhenti seketika. Ini kerana penari mahu mengawal kepala singa untuk tunduk dan mengupas buah oren yang akan diberikan kepada tetamu sebagai simbol kebaikan. "Namun, aksi tarian singa itu dieksploitasi dan diputarbelit oleh pembangkang dengan menuduh krew tarian singa," kata MCA menerusi kenyataan jabatan publisitinya. Kenyataan itu menambah, tidak seperti pembangkang, MCA menghargai sambutan perayaan. "Sepatutnya ada had dalam berpolitik terutamanya semasa sambutan perayaan dan kebudayaan, dan keadaan sedemikian akan membawa lebih kegembiraan dan kebaikan. "Namun Pakatan gagal menyedari kebaikan tersebut," jelas kenyataan itu pada Khamis. Pada Sabtu, tersebar rakaman klip video yang menunjukkan penari tarian singa melakukan persembahan untuk Najib Razak. Dalam klip yang telah disunting, kelihatan seperti penari singa itu enggan menari untuk Perdana menteri.