KOTA KINABALU: Anggota pasukan mencari dan menyelamat menemui dua jaket keselamatan di laut, tidak jauh dari lokasi penemuan 20 penumpang bot katamaran yang terselamat dalam tragedi lima hari lalu. Jaket keselamatan itu ditemui di perairan Semarang berdekatan pesisir pantai plafform minyak oleh kru KM Berani milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada Jumaat. Pegawai APMM setakat ini belum dapat mengesahkan sama ada jaket yang ditemui itu menyamai jaket milik syarikat bot katamaran yang karam itu. Jaket keselamatan itu telah diserahkan kepada polis untuk tujuan pengesahan. Komander KM Berani, Lt Komander Mohd Fauzi Ab Rahman berkata, jaket pertama ditemui pada Jumaat, manakala yang kedua pada kira-kira pukul 10 pagi, Khamis. Beliau berkata, jaket itu ditemui kira-kira 30 batu nautika dari pantai di mana mangsa tragedi bot karam itu diselamatkan. KM Berani tiba di sini pada tengah malam Jumaat untuk menambah bekalan dan menyerahkan jaket yang ditemui terapung di laut itu kepada polis. Beliau berkata, laut yang tenang pada pagi dan tengah hari membolehkan anggotannya menemui objek itu. Mohd Fauzi berkata, kawasan pencarian di laut dijangka berombak pada lewat petang dan ia dijangka memberi kesan kepada operasi mencari dan menyelamat. Pengarah APMM Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Adam Aziz berkata, kawasan pencarian untuk baki lima warga China dan kru rakyat Malaysia kini telah dikurangkan kepada 2,990 batu nautika. Beliau berkata, 21 kapal dan pesawat terlibat dalam operasi di perairan Sabah, Brunei dan utara Sarawak itu. Pada 28 Januari, bot katamaran yang membawa 31 penumpang dan kru termasuk 28 rakyat China serta tiga kru terlibat dalam nahas bot karam pada kira-kira pukul 10 pagi selepas berlepas dari jeti Tanjung Aru sejam lebih awal. Seramai 20 warga China terselamat selepas melalui pengalaman ngeri berada di laut selama 30 tahun, manakala tiga lagi disahkan maut dan enam lagi masih hilang. Enam yang hilang termasuk kru, Absoy Kasim, 26 dan warga China, Sheng Jiang Jiang, 50 (lelaki); Luo Hong Yuan, 51 (lelaki), Dong Mei (wanita), seorang wanita berusia 30an dan budak yang dipercayai berusia 10 tahun.