suria

BR1M: Kajian Bank Dunia Punca Tun M Buat Pusingan U - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kajian Bank Dunia yang mengiktiraf bantuan kewangan untuk kebajikan keluarga adalah antara punca Tun Dr Mahathir Mohamad membuat pusingan U dalam kenyataan bekas perdana menteri itu berhubung Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dilaksanakan kerajaan sekarang.

Perdana menteri berkata Dr Mahathir sedia maklum kajian oleh penyelidik Bank Dunia dan Stanford membuktikan bahawa bantuan kewangan secara terus biasanya dibelanjakan secara berhemah seperti kebajikan keluarga, bukan menyebabkan mereka malas seperti dakwaannya.

"Bantuan kewangan seperti BR1M diperkenalkan untuk membantu golongan berpendapatan rendah supaya dapat meringankan beban sara hidup mereka," kata Najib dalam catatan terbaru beliau dalam blog www.najibrazak.com hari ini.

Faktor itu, kata Najib antara empat sebab mengapa Dr Mahathir yang sebelum ini sering menyifatkan BR1M sebagai "dedak", membuat pusingan-U dengan menyatakan pembangkang akan meneruskan pemberian BR1M sekiranya dapat memerintah negara.

Faktor kedua, katanya adalah berikutan bantuan kewangan seumpama itu banyak dijalankan di negara-negara seluruh dunia dan diperakui pakar-pakar ekonomi sebagai langkah pemangkin ekonomi. 

"Ketiga, bantuan kewangan juga dilaksana oleh rakan-rakan pembangkang pemimpin lama ini (Dr Mahathir) seperti Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali yang memberi wang masuk sekolah anak-anak Selangor dan (Ketua Menteri) Lim Guan Eng yang memberikan bantuan kewangan rakyat miskin di Pulau Pinang.

"Keempat, BR1M diberikan kepada golongan berpendapatan rendah tidak kira ideologi politik. Kita tidak suruh mereka undi Barisan Nasional, lainlah kupon Azmin Ali yang terdapat muka beliau pada kupon wang tersebut. Malah kerajaan negeri Selangorlah banyak memberi insentif wang," katanya.

Berikutan empat faktor itu, Najib menjelaskan pemimpin lama itu tiada pilihan lain melainkan membuat pusingan-U dalam pendiriannya.

"Kita semua tahu pusingan-U yang dibuat oleh Dr Mahathir ini bukanlah kali pertama," katanya.-- Bernama


Mahathir, Najib, BRIM

Artikel Berikut

Artikel Lain