suria

Dr Hilmi Bidas DAP Tentang Hospital Patuh Syariah Pertama

Dr Hilmi Yahaya.

GEORGE TOWN: Semua hospital, klinik serta fasiliti kesihatan kerajaan di negara ini adalah patuh syariah, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Katanya, begitu juga dengan segala yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hampir sepenuhnya mematuhi kehendak syariah. 

Justeru, kata Dr Hilmi beliau terperanjat dengan kenyataan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mahu membina sebuah hospital patuh syariah pertama di Malaysia.

"Nampaknya exco tersebut tidak tahu atau sengaja hendak menafikan usaha yang telah dibuat oleh KKM selama ini untuk memastikan semua hospital dan klinik, semua fasiliti kesihatan kerajaan patuh syariah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna Pulau Pinang, Datuk Abdul Malik Abul Kassim yang pada November lalu dilaporkan berkata hospital itu akan dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang di Bayan Baru.

Dr Hilmi yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau berkata, susulan kenyataan exco itu beliau mendapatkan pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung maksud patuh syariah.

Berdasarkan penjelasan Jakim, beliau berpandangan semua yang dibuat oleh KKM hampir sepenuhnya mematuhi kehendak syariah merangkumi pakaian seragam staf serta amalan di wad pesakit termasuk wad bersalin.

Bagi wad bersalin, Dr Hilmi berkata, kini si bapa dibenar mengazankan atau qamat anaknya.

"Cuma kalau hendak pilih doktor perempuan untuk kendalikan ibu bersalin belum boleh lagi kerana kita belum mencapai jumlah doktor perempuan yang mencukupi," katanya menambah doktor perempuan kurang berminat bidang sakit puan kerana bidang itu amat mencabar.

Selain itu ,Dr Hilmi berkata, semua ubat dan vaksin yang digunakan oleh KKM adalah halal.

"Yang tidak halal cuma rotavirus untuk pencegahan cirit-birit dan itu tidak dibeli oleh KKM. Ia hanya terdapat di hospital atau klinik swasta tertentu sahaja. Untuk pastikan vaksin benar-benar tidak ada unsur khinzir, bahagian farmasi KKM buat pemeriksaan DNA dan pastikan tidak ada DNA khinzir," katanya.

Katanya, jika ubat dan vaksin dikeluarkan dalam negara, pengeluar wajib mendapatkan pensijilan halal Jakim dan pengeluaran pula dilakukan oleh kilang berstatus Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Dr Hilmi juga mendedahkan ramai pakar pembedahan beragama Islam melaksanakan amalan yang dianjur Islam iaitu menunaikan solat sunat sebelum memulakan pembedahan selain menjamak solat fardu jika pembedahan dijangka mengambil masa.  

Selain itu, beliau berkata, KKM juga telah melancarkan Kempen Hospital Mesra Ibadah tiga tahun lalu dengan pembimbing ditempatkan di hospital tertentu bagi mengajar cara sembahyang kepada pesakit walaupun dalam keadaan terlantar.

"Oleh itu, jika exco kerajaan negeri mahu mendakwa kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP adalah yang pertama akan membina hospital patuh syariah di Malaysia, tengok-tengoklah dahulu apa yang telah kami buat di KKM," katanya.

Media melaporkan hospital patuh syariah dikenali Hospital Islam Pulau Pinang yang akan dibina oleh kerajaan DAP Pulau Pinang dengan kos RM280 juta itu dijangka beroperasi pada 2020. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain