BAGAN SERAI: Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam sebelum ibu jari tangan kirinya dikeluarkan daripada lubang tombol kunci di rumahnya di Lembah Beriah, Bukit Merah di sini petang Jumaat. Jarinya dikeluarkan oleh anggota bomba yang dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira 3.55 petang. Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Che Hassan Che Mat berkata jari mangsa yang berusia empat tahun gagal dikeluarkan anggota keluarganya sebelum itu. "Kami memujuk mangsa yang menangis ketakutan sebelum kami segera memotong tombol kunci pintu bilik tersebut dengan menggunakan gergaji besi. "Setelah tombol dipotong, pengunci pada tombol tersebut ditanggalkan dan jari mangsa dapat dikeluarkan tanpa dia mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan.