suria

Johor Sokong Keputusan ICJ Berhubung Batu Puteh Disemak Semula

Johor Bahru: Kerajaan Johor menyokong penuh keputusan kerajaan mengemukakan permohonan semakan semula terhadap penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), berhubung status Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata, Batu Puteh adalah perkara penting dan sensitif khususnya bagi Johor.

"Kerajaan negeri mengalu-alukan perkembangan terkini ini khususnya berhubung usaha Malaysia mengemukakan permohonan semakan semula terhadap penghakiman ICJ.

"Kita percaya jika berasaskan kepada kenyataan Peguam Negara (Tan Sri Mohamed Apandi Ali) bahawa masih mempunyai penemuan baharu dalam soal ini, maka saya berharap usaha ini akan diteruskan.

"Mudah-mudahan kita akan mendapat keputusan positif dalam perkara ini. Saya percaya ini membabitkan soal keputusan yang akan dibuat oleh ICJ oleh demikian kita tunggu perkembangan daripada mereka," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Mohamed Khaled berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan surat tawaran dan kunci inkubator Perbadanan Islam Johor (PIJ) Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang di sini, Jumaat malam.

Dalam satu kenyataan terdahulu, Mohamed Apandi berkata, Malaysia memfailkan permohonan itu di ICJ, The Hague, Belanda, selepas meneliti beberapa fakta, antaranya ketika keputusan dibuat, ia tidak diketahui oleh mahkamah serta Malaysia, sebagai negara yang menuntut semakan.

ICJ memutuskan kedaulatan Batu Puteh yang terletak di perairan luar pantai Johor adalah milik Singapura dengan keputusan majoriti 12:4, manakala Batuan Tengah pula diputuskan sah milik Malaysia dengan keputusan majoriti 15:1.

Bagi Tubir Selatan, hak kedaulatannya akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya. Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri berharap keputusan terbaharu itu memberi harapan Batu Puteh kembali menjadi hak Malaysia.

Khaled Nordin, ICJ, Johor, Batu Puteh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain