suria

Penamaan Calon PRK Tanjong Datu: Penyokong BN Berhimpun Seawal 8 Pagi

Petugas SPR Sarawak, Nurhazeleen Abdullah melekatkan tanda 'calon' pada kerusi di Dewan Masyarakat Lundu sebagai persiapan terakhir untuk hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu, Sarawak. -fotoBERNAMA
LUNDU: Perkarangan Masjid Daerah di sini sudah sibuk seawal 8 pagi apabila kumpulan penyokong Barisan Nasional (BN) mulai berkumpul  untuk berarak ke pusat penamaan calon bagi pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu, di Dewan Masyarakat Lundu, untuk memberi sokongan dan sebagai tanda perpaduan yang kukuh.

Pusat penamaan calon itu hanya akan dibuka pada pukul 9 pagi, namun kumpulan penyokong BN sudah ramai berkumpul di Masjid Daerah di sini sebagai persiapan awal untuk berarak sama.

Ketika ini, tidak kelihatan sebarang tanda akan berlaku pertandingan dalam PRK ini memandangkan selain BN, kelibat pihak lain yang mungkin berminat untuk turut serta dalam PRK ini tidak kelihatan di mana-mana, namun masih terlalu awal untuk ditentukan.

PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima Tan Sri Adenan Satem, akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, dan Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan 18 Februari ini sebagai hari mengundi.

BN Sarawak yang bermesyuarat pada 1 Februari lepas memutuskan untuk meletakkan balu Allahyarham, Datuk Amar Jamilah Anu, sebagai calon pada PRK ini, manakala PKR yang turut bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas mengumumkan tidak akan turut serta dalam PRK ini.

PRN Sarawak ke-11 Mei lalu menyaksikan Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi, yang hanya meraih 468 undi.

Kira-kira 250 petugas pilihan raya dilantik untuk mengendali proses PRK yang dianggar menelan belanja RM997,919, yang mempunyai 9,959 pemilih berdaftar, terdiri daripada 9,771 pengundi biasa dan 188 pengundi awal.

Timbalan Perdana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tiba di Kuching Khamis lepas dijangka turut serta dalam perarakan BN ke pusat penamaan di Dewan Masyarakat pagi ini sebagai tanda sokongan.

Beliau dijangka disertai Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, serta menteri kabinet Sarawak yang lain.

Keadaan cuaca yang baik setakat ini dijangka melancarkan lagi proses penamaan calon pagi ini.

Artikel Lain