suria

Perebutan Tiga Penjuru PRK Tanjong Datu

Calon Barisan Nasional (BN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu (tiga, kanan) ketika menyerahkan borang pencalonan di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Lundu pada 4 Februari 2017. -BERNAMA

LUNDU: Pilihanraya kecil PRK Tanjong Datu 18 Feb ini akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon dari Barisan Nasional (BN), Parti Reformasi Negeri (STAR) dan parti Parti Bansa Dayak Sarawak baru (PBDS).

Ia membabitkan calon BN Datuk Amar Jamilah Anu, calon dari parti PBDS Baru, Rapelson Richard Hamit, dan calon dari parti STAR Johnny Aput.

Nama-nama calon diumumkan Pengurus PRK DUN Tanjong Datu Hamsein Atar di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Lundu kira-kira pukul 10.15 pada Sabtu.

Hamsein semasa membuat pengumuman berkata empat orang tampil untuk menghantar borang pencalonan, namun selepas disemak beliau berpuas hati bahawa ada nama yang ditolak.

Selepas pengumuman, semasa dirujuk mengenai pencalonan seorang lelaki, Asbor Abdullah yang berhasrat untuk bertanding pada PRK ini sebagai calon bebas, Hamsein berkata pencalonannya ditolak kerana selepas disiasat, sebelum ini lelaki berkenaan didapati pernah bertanding dalam satu pilihan raya dan tidak menghantar penyata kewangan selepas tamat pertandingan.

Katanya semakan di Jabatan Insolvensi juga mendapati bahawa bahawa lelaki itu pernah diisytihar bankrap, menyebabkan dia tidak layak bertanding.

PRK DUN Tanjong Datu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima Tan Sri Adenan Satem, akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lalu di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, dan Suruhanjaya Pilihanraya menetapkan 18 Feb ini sebagai hari mengundi.

BN Sarawak yang bermesyuarat Rabu lepas memutuskan untuk meletakkan balu Allahyarham, Datuk Amar Jamila Anu, 61, sebagai calon pada PRK ini, manakala PKR yang turut bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas mengumumkan tidak akan turut serta dalam PRK ini.

PRN Sarawak Ke-11 Mei lalu menyaksikan Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi, yang hanya meraih 468 undi.

Kira-kira 250 orang petugas pilihan raya dilantik untuk pengendalian proses PRK yang dianggar menelan belanja RM997,919 ini, yang mempunyai 9,959 pemilih berdaftar, terdiri daripada 9,771 pengundi biasa dan 188 pengundi awal.

Timbalan Perdana Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Menteri Sarawak serta beberapa menteri kabinet Sarawak berarak dari pekarangan Masjid Daerah Lundu pada kira-kira 8.57 pagi ini menuju pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Lundu, sebagai tanda sokongan kepada calon BN.

Jamilah tiba di pusat penamaan calon pada kira-kira 9.17 pagi.

Tanjong Datu

Artikel Lain