suria

Waspada Jualan Barangan Tamat Tempoh

Pengarah Kesihatan Negeri Dr. Mohammad Omar menunjukkan makanan yang telah luput tarikh dan masih dijual di sebuah pasaraya sewaktu mengadakan operasi sempena Tahun Baru Cina pada 5 Februari 2017. - BERNAMA

KUALA NERUS: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menasihatkan para pengguna berhati-hati dengan tindakan sesetengah pasar raya yang memerangkap pengguna dengan menjual barangan makanan dan minuman yang telah tamat tempoh menerusi jualan murah pada musim perayaan.

Pengarahnya, Dr Mohamad Omar berkata tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pasar raya itu dikesan dalam operasi khas yang dijalankan pihaknya sempena Tahun Baharu Cina 2017 dan 'Visit Beautiful Terengganu 2017' di seluruh negeri bermula 9 Januari lalu.

Katanya, 34 premis yang diperiksa pihaknya mengesan mereka mencampuradukkan barangan yang telah tamat tempoh dengan barangan yang baharu dengan memberi harga diskaun kononnya ia dibuat sempena musim perayaan.

"Dalam operasi yang dijalankan di seluruh negeri itu, sebanyak 2,871 item diperiksa membabitkan 34 premis perniagaan. Jumlah rampasan yang dilakukan adalah membabitkan 1,177 barangan yang sebahagian besarnya sudah tamat tempoh.

"Berdasarkan trend yang dikesan itu, kami percaya masih banyak barangan dijual di pasar raya atau pasar mini yang menyalahi peraturan dan menasihatkan pengguna sentisa berhati-hati bagi mengelak tertipu dengan promosi dilakukan," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai operasi khas itu di sebuah pasar raya di sini pada Ahad.

Dr Mohamad berkata pada operasi hari ini juga pihaknya menyita 52 item kerana mendapati ada kerosakan terhadap makanan atau minuman yang dijual di pasar raya itu membabitkan nilai RM544.65 dan menemui 12 item yang sudah melebihi tarikh luput.

Dalam pada itu katanya mana-mana premis yang didapati melakukan kesalahan tersebut mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Peraturan

Makanan 1983 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Setakat ini katanya hanya sebuah pasar raya di Kemaman yang terlibat melakukan kesalahan tersebut dibawa ke mahkamah.

"Jabatan Kesihatan akan terus melakukan pemantauan ini dari semasa ke semasa dan bukan sekadar pada musim perayaan kerana kami mahu masyarakat dan juga pelancong mendapat makanan yang selamat dan berkualiti," katanya.

Mohamad Omar, JKNT

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

APMM Tahan Kapal Dagang Asing

Artikel Lain