KUALA LUMPUR: Projek pembinaan tempat letak kereta bertingkat di 13 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu negara dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata projek itu bakal memberi kelegaan kepada penduduk yang selama ini terpaksa berdepan masalah kekurangan tempat letak kenderaan kritikal.
"Antara kawasan yang terlibat seperti di kawasan Bandar Tun Razak, Cheras, Wangsa Maju, Segambut dan banyak lagi. Setiap kawasan melibatkan kos yang berbeza-beza berdasarkan pada jumlah petak parkir dan jumlah tingkat yang dibina.
"Parkir bertingkat ini meliputi kemudahan tambahan seperti pembinaan dewan serba guna, gelanggang futsal, pusat penjaja, gerai dan surau. Ia bergantung atas permintaan penduduk," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Program Kenduri 1Wilayah Persekutuan (Kenduri 1WP) Parlimen Kepong, di sini pada Ahad.
Lebih 3,000 orang menghadiri Kenduri 1WP, yang merupakan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan bagi menjalinkan ukhuwah dan menyatupadukan pelbagai kaum di kawasan Parlimen Kepong.
Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut seperti pertandingan mewarna kanak-kanak dan pemberian sumbangan oleh Persatuan Penjaja Kepong kepada warga emas dan fakir miskin sempena Tahun Baharu Cina.