suria

TPM Tiba Di Qatar Untuk Lawatan Rasmi Empat Hari

Ahmad Zahid disambut Pengarah Jabatan Hubungan Antarabangsa Qatar, Mejar Jen Abdulaziz A Alansari setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad sempena Lawatan Kerja pada Ahad. fotoBERNAMA

DOHA: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini bagi memulakan lawatan rasmi empat hari ke Qatar atas jemputan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Qatar Sheikh Abdullah bin Nasser bin Khalifa Al Thani.

Pesawat yang membawa Ahmad Zahid mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di sini pada 10.15 malam Sabtu (Waktu Malaysia 3.15 pagi Ahad) dan sebaik tiba, beliau disambut Pengarah Jabatan Hubungan Antarabangsa Qatar, Mejar Jen Abdulaziz A Alansari dan Duta Besar Malaysia ke Qatar Datuk Ahmad Jazri Mohd Johar.

Pada lawatan ini, Ahmad Zahid yang diiringi beberapa pegawai kanan kerajaan dijangka menghadap Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dan kemudian membuat kunjungan ke atas Sheikh Abdullah pada pagi Ahad.

Semasa berada di sini, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri akan melawat Pusat Kawalan Negara dan projek komuniti yang dirancang di bandaraya Lusail, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad dan bertemu diaspora Malaysia di Qatar.

Ini adalah lawatan sulung Ahmad Zahid ke Qatar selepas memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada Julai 2015.

Lawatan terakhir pemimpin tertinggi Malaysia ke Qatar dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Disember 2011.

Malaysia mula menjalin hubungan diplomatik dengan Qatar pada tahun 1974 dan hubungan dua hala itu diperkukuhkan dengan pembukaan pejabat kedutaan di sini pada Ogos 2004 dan disusuli pembukaan kedutaan Qatar di Kuala Lumpur pada September tahun yang sama. - BERNAMA


Qatar, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Lain