suria

Pukul Adik OKU, Penganggur Dipenjara Sebulan

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah mencederakan adiknya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU).

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu ke atas Tan Ying Chik, 39, kerana memukul adik lelakinya, Tan Ying Been, 38, dengan menggunakan sebuah kerusi plastik sehingga menyebabkan kepala mangsa berdarah.

Mahkamah memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh tangkap pada 2 Februari lepas dan tertuduh juga akan menjalani hukuman penjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda dikenakan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan di Jinjang, di sini, pukul 12 tengah malam, pada 2 Februari lepas mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Noorelynna Hanim Abd Halim memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira faktor keselamatan mangsa, seorang OKU yang mengalami masalah mental.

"Walaupun senjata yang digunakan dalam kes ini hanya kerusi plastik, namun kekerasan yang digunakan tertuduh menyebabkan kecederaan di kepala mangsa sehingga berdarah dan menerima jahitan. Sebagai seorang abang, tertuduh sepatutnya melindungi adiknya yang lemah dan kurang upaya," katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan.

Pukul

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan