suria

Jamal Umum Mungkin Letak Jawatan Dalam Umno, NGO

Datuk Seri Jamal Md Yunos
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Jamal Md Yunos pada Isnin secara sinis mengumumkan kemungkinan akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian Umno Sungai Besar serta semua jawatan dalam badan bukan kerajaan (NGO) yang disandang beliau.


Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) itu membuat pengumuman  selepas dibebaskan bersama sembilan tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada kira-kira pukul 7 malam ini.

Video pengumuman peletakan jawatan beliau berdurasi 1.21 minit turut dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau.


"Hari ini saya ingin mengumumkan berkemungkinan akan melepaskan jawatan saya sebagai Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Pengerusi Barisan Nasional Sungai Besar, Pengerusi NGO negeri Selangor dan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia.

"Kerana, bagi saya jawatan yang dipegang untuk masyarakat ini tidak dapat dipergunakan sepenuhnya.

"Sebaliknya selepas ini saya akan mengusahakan perniagaan judi haram seperti tauke-tauke judi yang lain kerana mengusahakan judi haram ini mempunyai kekebalan, mempunyai keistimewaan berbanding jawatan-jawatan sebagai pemimpin masyarakat," katanya, sinis.

Khamis lepas, Jamal ditahan di kediamannya dan ditahan reman lima hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung serbuan ke atas beberapa premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian di sekitar Selangor.

Pada Disember tahun lepas, Jamal bersama beberapa yang lain telah 'menyerbu' beberapa premis berkenaan di Ampang, Selangor.


Artikel Lain