KOTA KINABALU: Selepas lebih seminggu kejadian bot karam yang membawa 28 pelancong China berdekatan perairan Pulau Mengalum, namun keluarga Absoy Kasim masih setia menunggu berita di jeti polis marin. Sejak tragedi pada 28 Januari lalu, ahli keluarga kru bot berusia 26 tahun yang masih hilang itu tidak pernah meninggalkan lokasi itu. Isteri Absoy, Amelia Samanail berkata, dia bersama keluarga suaminya berkhemah di jeti itu dan tidur beralaskan kadbod. "Saya percaya dia masih hidup. "Saya mahu berada di sini apabila dia tiba nanti, Kami tidak akan tinggalkan tempat ini sehingga dia balik," kata isteri muda berusia 21 tahun ini. Menteri Pembangunan Komuniti dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Jainab Ayid yang menemui keluarga Absoy memberi jaminan akan membantu mereka kerana mangsa kejadian itu adalah satu-satunya penari nafkah untuk keluarga itu. Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din berkata, tiga daripada 20 pelancong China yang diselamatkan daripada tragedi itu akan pulang ke negara mereka pada Isnin. Beliau berkata, mereka telah menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth dan sihat untuk pulang ke negara asal. Katanya lagi, mesyuarat akan diadakan pada Isnin untuk memutuskan tindakan lanjut yang akan diambil selepas operasi mencari dan menyelamat telah memasuki hari ke-10.