KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mempersoalkan penangguhan proses pendakwaan terhadap lapan individu termasuk seorang anak lelaki timbalan menteri yang terlibat dalam kekecohan di Parlimen pada November tahun lalu. "Mereka yang terlibat sepatutnya didakwa pada minggu lalu. Peguam saya hadir ke mahkamah tetapi dimaklumkan bahawa kes itu ditangguh," kata Khalid yang juga pengarah komunikasi Parti Amanah Negara. Beliau berkata demikian pada sidang media di Wisma Amanah di sini pada Isnin. Khalid turut menggesa polis dan Peguam Negara untuk memberi penjelasan tentang kelewatan proses pendakwaan tersebut memandangkan insiden itu sudah berlaku lebih dua bulan lalu. Jelas beliau, kejadian berkenaan berlaku pada waktu siang dan rakaman video jelas menunjukkan serangan ke atas dirinya selain rakaman lapan suspek yang memasuki kawasan Parliman pada hari kejadian. "Kenapa kes ini ditangguhkan? Kejadian itu berlaku di Parlimen, serangan ke atas seorang ahli Parlimen. "Kenapa pelaku tidak didakwa dengan segera," kata beliau sambil menambah dirinya tidak mengalami kecederaan semasa kejadian tersebut. Pada Selasa lalu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Amar Singh berkata, lapan suspek kes itu akan didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan setakat ini, siasatan kes itu telah lengkap. Bagaimanapun, peguam Khalid, Zulhazmi Sharrif yang turut menghadiri sidang media pada Isnin, menyatakan rasa terkejut kerana kesemua suspek hanya didakwa atas kesalahan merusuh. "Mereka datang ke Parlimen untuk menyerang anggota Parlimen dan anggota keselamatan. "Terdapat kesalahan kerana mencederakan penjawat awam dan menghalang tugas penjawat awam," katanya sambil menambah sekurang-kurangnya empat kesalahan dilakukan oleh kesemua suspek. Firdaus Tajuddin, anak lelaki Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, didakwa merupakan sebahagian kumpulan daripada cawangan Pemuda Umno Pasir Salah yang menyerang Khalid di perkarangan Dewan Rakyat pada 24 November lalu. Lapan individu berusia 33 hingga 55 tahun termasuk tiga wanita ditahan berhubung kejadian itu. Kejadian itu tercetus susulan tindakan Khalid menggelar Tajuddin sebagai 'menteri sial' ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat sebagai membantah tindakan timbalan menteri berkenaan mempermainkan nama ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.