PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria berkata, hakim tidak seharusnya takut dikritik jika keputusan yang dibuat berasaskan aspek undang-undang. "Tekanan itu pada diri anda sendiri. Jika tiada keraguan dalam diri, tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya ketika majlis kenaikan pangkat seorang hakim persekutuan dan 11 hakim mahkamah tinggi di Istana Kehakiman di sini, Selasa. Ariffin berkata, menerusi teknologi maklumat, penghakiman yang dibuat tersebar kepada umum bukan sahaja di dalam malah seluruh dunia menerusi media sosial. Berkaitan maklum balas terhadap kritikan, katanya, hakim adalah tertakluk kepada etika. "Adalah menjadi tanggungjawab setiap hakim untuk membuat pertimbangan sewajarnya," katanya. Pada majlis itu, Datuk Dr Prasad Sandosham Abraham, 65, dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan. Selain itu, 11 hakim yang akan berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi adalah Datuk Azimah Omar, 54; Gunalan Muniandy, 59; Lim Chong Fong, 54; Datuk Nordin Hassan, 53; Datuk Azmi Ariffin, 56; Noorin Badaruddin, 50; Collin Lawrence Sequerah, 56; Azizul Azmi Adnan, 47; Mohamed Zaini Mazlan, 49; Mohd Nazlan Mohd Ghazali, 49, and Azhahari Kamal Ramli, 53.