suria

Skandal BNM: Kerajaan Pertimbang Siasat Semula - KJ

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontijen Malaysia yang akan bertanding di Sukan Asia Musim Sejuk di Sapporo Jepun, Rabu. Ketua Kontinjen Mohd Fazli Johan bersama 35 atlet dan 19 pegawai akan mewakili negara dalam acara sukan musim sejuk termasuk hoki ais.

PUTRAJAYA: Kerajaan mempertimbangkan kemungkinan menyiasat semula dakwaan Bank Negara Malaysia (BNM) pernah mencatat kerugian sebanyak RM44 bilion melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata kemungkinan itu yang dibangkitkan pada mesyuarat jemaah menteri pada Rabu antara lain turut menyebut mengenai keperluan mendapat kepastian sama ada terdapat usaha menutup atau 'cover up' oleh seseorang berhubung skandal itu.

Kabinet, katanya, mengambil maklum mengenai kehilangan wang negara melalui jual beli mata wang asing seperti mana yang diperakui Bank Negara dan Gabenor ketika itu tetapi apa yang perlu dirungkaikan adalah kemungkinan kerugian lebih besar telah berlaku daripada apa yang dilaporkan.

"Apa yang menjadi persoalan ketika ini ialah sama ada kerugian itu adalah seperti mana dilaporkan atau lebih besar daripada apa yang dinyatakan oleh bekas Penolong Gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid baru-baru ini.

"Apa yang perlu difikirkan adalah sama ada kita perlu melihat semula kes ini dan mendapat kepastian sama ada berlaku satu 'cover up', atau usaha menutup kes tersebut dan jika sekiranya ada cover up, siapa yang terlibat dan siapa yang mengarahkannya...itu persoalan paling penting yang perlu kita dapat kepastian ketika ini," katanya di sini, Rabu.

Beliau mengulas sama ada mesyuarat Kabinet hari ini ada membincangkan gesaan beberapa pihak agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian sebanyak AS$10 bilion yang dialami BNM melalui kegiatan perdagangan mata wang sepanjang 1991 hingga 1993, semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Baru-baru ini, Abdul Murad tampil mendedahkan bank pusat itu pada 1991 hingga 1993 terlibat dalam perdagangan spekulasi mata wang antarabangsa yang berisiko tinggi sehingga menyebabkan kerugian lebih daripada jumlah yang dilaporkan.

Mengulas lanjut, Khairy berkata perkara berkenaan perlu diberi perhatian kerana skandal itu merupakan antara kehilangan terbesar pernah berlaku dalam sejarah sebuah bank pusat.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu akan diperhalusi dengan teliti kerana ia melibatkan insiden atau skandal yang berlaku lebih 20 tahun lalu selain ada individu berkaitan yang memegang jawatan tertentu telah meninggal dunia, antaranya Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein yang merupakan Gabenor Bank Negara ketika itu.

"Jadi, Kabinet akan bincang sekali lagi perkara ini minggu depan untuk memikirkan apakah cara terbaik bagi mendapatkan gambaran lebih jelas sama ada berlakunya cover up dalam insiden tersebut," katanya.

Terdahulu, Khairy menyempurnakan penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia yang akan bertanding pada Sukan Asia Musim Sejuk di Sapporo, Jepun bermula 19 hingga 26 Februari ini.-- Bernama

KJ, BNM

Artikel Berikut

Artikel Lain