suria

29 Pelajar Asing Diusir Dari Malaysia Tahun Lepas

CYBERJAYA: Seramai 29 pelajar warga asing diusir dari negara ini pada tahun lepas kerana menyalahgunakan visa pelajar termasuk terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan) Datuk Ibrahim Abdullah berkata seramai 91,686 pelajar asing masuk ke Malaysia tahun lepas dan daripada jumlah itu, 674 orang ditahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalah guna pas dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen kerana tinggal lebih masa.

Tangkapan pelajar warga asing itu melibatkan 413 pelajar dari Bangladesh, diikuti China (51), Nigeria (51), Mesir (29), Pakistan (13), Filipina (11) dan  lain-lain 106, katanya.

"Jabatan Imigresen akan terus memantau aktiviti pelajar warga asing di Malaysia," katanya kepada pemberita sempena lawatan kerja Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching ke pusat khidmat pelajar antarabangsa Education Malaysia Global Services (EMGS) di sini, Rabu.

Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Mohd Yazid Abdul Hamid berkata pada masa ini  EMGS menerima 6,000 hingga 7,000 permohonan visa pelajar sebulan dan memproses 300 hingga 400 visa pelajar sehari.

"Tempoh memproses visa pelajar asing pada masa ini ialah tujuh hari berbanding tempoh sasaran yang ditetapkan iaitu 14 hari," katanya. 

Menurut Mohd Yazid, permohonan visa pelajar asing yang diterima perlu melalui dua peringkat saringan sebelum diluluskan iaitu dari aspek akademik dan keselamatan. 

EMGS merupakan syarikat milik Kementerian Pendidikan Tinggi yang ditubuhkan pada 2012 untuk menguruskan khidmat untuk pelajar antarabangsa termasuk memproses visa pelajar. 

Yap dalam pada itu turut memuji kerjasama EMGS dan Jabatan Imigresen yang berjaya memproses visa pelajar dalam tempoh yang lebih singkat dari yang ditetapkan. 

"Kementerian Pendidikan Tinggi akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi membanteras kes pelajar warga asing yang terlibat dalam kegiatan tidak bermoral," katanya.-- Bernama



Imigresen, Ibrahim Abdullah

Artikel Lain