suria

Rindunya Nak Jamah Nasi Lemak Malaysia

NASI lemak antara makanan paling lazat di dunia. Dengan nasinya yang putih melepak, harum bau daun pandan yang semerbak, ia cukup membuat hati seseorang rawan dan tertawan.

Dihias pula dengan timun segar, telur rebus separuh masak dan himpunan ikan bilis berhadas digomoli kacang goreng, ditambah pula dengan sambal kemerahan yang pedas dan manis bawang - aduhai…!

Lagi-lagi jika nasinya yang sebutir-sebutir dihidangkan atas daun pisang. 

Saat kau mencedok nasi lemak yang sebutir-sebutir itu, kau melihat ia bergolek-golek mengikut rentak sudu. Pergh! Nikmat Tuhan mana lagi yang mahu kau dustakan?

Itu belum cerita lagi kalau digabungkan dengan ayam rendang atau paru sambal atau sotong sambal atau rendang daging atau apa-apa sajalah yang kau suka.

Nasi lemak makanan wajib orang Malaysia. Dan aku, selalu benar merinduinya.

Antara keperitan berada di negara orang ialah makanan. Di Qatar - yang 80 peratus populasinya adalah bangsa India - ia telah membuahkan restoran menyajikan hidangan India.

Dan apabila sudah lebih setahun menghadap 'dosa' (tose), parata, beriani, kari, dal, puri, baji, aloo paner dan macam-macam lagilah yang boleh membuat tekak kau kembang semacam.

Di tempat kerja juga begitu. Makanan kau hanya ada tiga warna setiap hari- putih, coklat dan kuning. Setiap hari!

TUTUP MATA, BAYAR, MAKAN

Sebagai warganegara Malaysia yang sudah biasa disajikan dengan pelbagai rasa dan warna makanan, menempuh kehidupan di negara orang memang mencabar, terutama ketika sarapan.

Bagi aku, orang Malaysia kalau merantau, paling lama boleh bertahan tidak menjamah makanan Malaysia adalah tiga hari.

Selepas tiga hari tekak sudah mahu rasa nasi lemak, roti canai, pulut, nasi goreng, kuetiau goreng, laksa dan lain-lain.

Nasi lemak atau roti canai bersama teh atau kopi sudah sinonim dengan orang kita. Ketidaan dua ini memang kadang boleh meruntuh semangat untuk bekerja.

Tetapi mujur ada beberapa pekerja Malaysia yang kadang-kadang menjual nasi lemak.

Walaupun sebungkus nasi lemak kadang-kadang mencecah RM15, tetapi demi rindu yang perlu dilunasi - apa lagi yang boleh dibuat - tutup mata, bayar dan makan. Dan kepuasan memang terpancar di muka masing-masing. Hari terasa bertambah ceria dan lapang.

Kemunculan nasi lemak di tempat kerja memang tidak dapat disorokkan. Ia cepat menyinggah dari mulut ke mulut dan kadang kalau terlambat maka tidak merasalah kau nasi lemak pagi itu.

Satu perkara yang boleh menimbulkan marah apabila warganegara Filipina juga sudah pandai menjamah nasi lemak. Dan kadang-kadang macam mereka pula yang terlebih rindu pada makanan itu.

Begitulah besarnya kuasa nasi lemak.  Katalah apa saja yang tidak baik mengenai nasi lemak - baik nasi lemak anak dara, anak teruna tampan atau hodoh, nasi lemak Kak Mas, Kak Mah Janda, antarabangsa, kampung pandan atau apa-apa sahaja - ia adalah makanan yang tidak mudah untuk ditolak lebih-lebih lagi apabila kau bekerja di Qatar macam aku.

SEPINGGAN 20 RIYAL

Mujur, di Doha ini ada beberapa tempat yang menjual nasi lemak. Daripada nasi lemak murah sehingga nasi lemak mahal.

Daripada yang seringkas 'baju pagoda lusuh' sehingga hidangan yang meriah dengan lauk. Waktu itu, rasa sedap atau tidak, belakang kira. Yang penting rindu yang memberat harus dilunaskan.

Di Hotel Holiday Inn, terdapat nasi lemak yang berharga 30 riyal. Aku tidak pernah ke sana. Walaupun aku rindu, tetapi nak membayar 30 riyal untuk sepinggan nasi lemak agak melampau.



Yang paling biasa, kami pencandu nasi lemak akan ke restoran Taste Of Asia yang terletak di Matar Qadeem. Sepinggan nasi lemak bersama sepotong ayam goreng dan secawan teh tarik baru 20 riyal lebih. 

Itu restoran yang kami kerap singgah. Kenapa? Akan aku ceritakan dalam artikel akan datang.

Jika tidak ke restoran memburu rindu nasi lemak, rakan serumahku, Harith, akan memasaknya. Walaupun kerja sehariannya selalu 'berdamping' dengan pemutar skru Rachet dan lampu suluh serta terpaksa membuat aksi akrobatik akibat ruangan yang terhad dalam kabin, air tangan dia pada sambal dimasak cukup membangkitkan selera. 

Bersama ayam goreng, telur goreng mata kerbau dan ubi kentang goreng ia memadai untuk kami seisi rumah senyum meleret sepanjang hari.

Suatu pagi - ketika suhu di luar rumah mencecah 48 darjah Celsius, mesej-mesej mengenai kedatangan nasi lemak di tempat kerja berpindah dari satu telefon bimbit ke satu telefon bimbit.

Informasi itu merebak dengan cepat bagai virus T dalam filem Zombie. Tepat 8.30 pagi, masing-masing sudah berkumpul di dalam bilik makan.

Kedatangan nasi lemak dalam dua bungkusan besar disambut dengan meriah bagai kunjungan seorang YB ke hujung kampung bagi meraih undi. 

Suasana riang dan usik-mengusik disulami dnegan aroma wangi nasi lemak memenuhi ruang udara.

Dalam keriuhan itu, terpacak satu susuk tubuh jurutera warganegara Singapura, Tok Wei, di depan pintu yang memerhati kami dengan mata terjegil.

Kami memandang dia yang memandang kami. Kami tersengih sedang dia membengis bagai singa lapar di Afrika.

“Nasi lemak!” jerit dia.

“Sudah habis!” jawab kami serentak.

Dan dalam gelak tawa kami, Tok Wei menunduk lemah.

Esok, aku akan pulang ke Malaysia. Jaga-jagalah kau nasi lemak rendang kerang!

(InsyaAllah dalam artikel selepas ini aku juga akan ceritakan kisah mencari rumah sewa di Doha ini dengan pengalaman meremangkan bulu roma dan mungkin kau takkan jumpa di mana-mana negara lain)

nasi lemak, Matar Qadeem, Doha

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain