KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai sebarang masalah atau isu berhubung tindakan DRB-Hicom Bhd melepaskan 51 peratus kepentingannya dalam Proton Holdings Bhd (Proton) sejajar usaha mendapatkan rakan kongsi strategik asing (FSP) bagi pengeluar kereta nasional berkenaan. Malah, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani menganggap perkembangan itu baik untuk Proton dan membolehkannya muncul sebagai jenama antarabangsa yang dikenali berbanding hanya bertumpu di peringkat tempatan dan menjual antara 200,000 dan 300,000 unit kenderaan yang disifatkannya sebagai tidak memadai. "Apa yang penting adalah untuk membawa lebih ramai pelabur ke Malaysia dan mewujudkan banyak peluang pekerjaan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis sambutan Tahun Baru Cina Persatuan Rangkaian Peruncit Malaysia, baru-baru ini. Jelas Johari, Proton juga bukan lagi milik kerajaan dan ia tidak berhasrat mempunyai sebarang kepentingan dalam pengeluar kereta nasional berkenaan. Oleh itu, katanya, tidak timbul sebarang masalah untuk Proton meneruskan rancangannya kerana ia milik persendirian dan sebarang usaha mencampuri urus niaganya adalah tidak wajar. Bagaimanapun, tegasnya, kerajaan akan terus memberi pandangan terhadap Proton. Menurutnya, Proton memerlukan satu rakan kongsi strategik asing untuk membolehkan usaha penerapan teknologi baharu selain memperkenalkan kereta lebih baik dan boleh dibeli di peringkat global. "Jika Proton sekadar berdiri sendiri, ia tidak boleh berkembang di persada antarabangsa. "(Sekiranya) kita mengeluarkan kereta hanya untuk (pasaran) Malaysia, maka ini tidak mampu bertahan (lama) kerana kita cuma ada seramai 31 juta penduduk. Kita juga ada Perodua (Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd) dan jenama kereta lain. "Bagi saya, ini melibatkan aspek jumlah serta kualiti dan teknologi selain reka bentuk yang baik. Ini semua pelengkap bagi menghasilkan kereta yang bagus dan akan dibeli pengguna," katanya. Sambil menegaskan bahawa Proton merupakan jenama yang baik, Johari berkata Proton juga perlu mampu menjual keluarannya ke luar negara serta memperkenalkan lebih banyak model baharu. Malah, jenama (automobil) yang dominan juga perlu mempunyai rakan asing, katanya. Johari juga mengakui satu atau dua rakan tempatan telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan Proton menerusi pemilikan kepentingan kurang 50 peratus. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan berkata pihak yang berminat dengan Proton perlu berbuat demikian sebelum 15 Februari ini. Minggu lalu, laporan media menyebut DRB-Hicom hasrat menyasarkan untuk memuktamadkan pemilihan FSP bagi Proton pada separuh pertama tahun ini dan masih lagi menunggu serahan bidaan daripada pihak yang berpotensi. Ini akan disusuli pula dengan penilaian secara menyeluruh. Menurut Johari, biarpun kerajaan tidak berhasrat untuk mencampuri urus niaga sektor swasta, ia terus memberi perhatian terhadap Proton yang mewujudkan ribuan pekerjaan. "Kita perlu memastikan aspek jaminan pekerjaan serta vendor itu dilindungi. Bagi kemajuan masa depan, kerajaan perlu membiarkan sektor swasta melakukan usaha niaga mereka sendiri tanpa turut sama terbabit. "Bagaimanapun, kita akan melakukan perniagaan strategik seperti pembangunan Transit Aliran Massa (MRT) dan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT). Anda tidak mungkin dapat melibatkan sektor swasta melakukan usaha sedemikian kerana membabitkan pelaburan besar. "Tiada siapapun dalam sektor swasta yang mahu mengambil risiko itu," katanya. Menurutnya Johari, dalam keadaan tertentu, kerajaan juga perlu menyediakan kemudahan untuk awam tanpa mendapat keuntungan dan pada masa sama memberi subsidi bagi kos pengangkutan berkaitan. Sementara itu, pada April tahun lepas, kerajaan melanjutkan pinjaman mudah kepada Proton Holdings bagi membantu menyelesaikan masalah aliran tunai, termasuk bantuan pembayaran kepada vendor pembekal komponennya. Kerajaan turut mengenakan beberapa syarat ke atas Proton bagi merancakkan semula perniagaannya, termasuk mencari rakan strategik asing baharu. DRB-Hicom dalam kenyataannya baru-baru ini memberi jaminan untuk mengekalkan ekuitinya yang signifikan dalam Proton. Ia juga akan meneliti hasrat pihak yang berpotensi sebagai rakan kongsi untuk memanfaatkan rangkaian vendor tempatan ketika ini, berikutan kepentingannya dalam anak syarikat yang bertindak sebagai vendor Proton dan mengelak daripada keperluan untuk melepaskan kepentingan itu. Menurut kumpulan itu, usaha FSP berkenaan akan menyuntik nafas baharu kepada Proton menerusi penawaran akses platform baharu serta teknologi yang dapat mempertingkatkan keluaran produk serta kualitinya. "Kumpulan ini percaya Proton akan menjadi pengeluar kereta yang lebih berjaya menerusi kehadiran rakan kongsi strategik asing ini. Usaha mengenal pasti FSP yang bersesuaian ini bukannya mengenai tindakan mengurangkan tanggungjawab nasional, tetapi bertujuan memacu Proton sebagai pengeluar kereta dan seterusnya meletakkan Malaysia di peta global," kata DRB-Hicom. Proton yang berada dalam pasaran sejak pertengahan 1980-an, masih memiliki kepentingan penjenamaan di pasaran domestik biarpun berdepan cabaran lampau dan semasa. Sebagai sebuah syarikat tempatan, DRB-Hicom turut berkongsi kebanggaan sebagai pemilik pengeluar kereta nasional pertama dan satu-satunya di peringkat ASEAN. - BERNAMA