suria

Polis Buru Ratusan Ahli Geng 360 Devan

KUALA LUMPUR: Dengan tertangkapnya pemimpin kanan Geng 360 Devan, Bukit Aman kini sedang memburu penjenayah yang dipercayai konco kumpulan terbabit membabitkan seramai ratusan suspek.

Ada di antara mereka dipercayai telah melarikan diri ke luar negara, justeru polis sedang memperketatkan kawalan dengan memerintah semua anggotanya menjaga pintu masuk dan keluar negara serta laluan sempadan untuk memudahkan tangkapan.

Kumpulan kongsi gelap itu terkenal melakukan pembunuhan, penculikan, rompakan bersenjata dan pengedaran dadah, kebanyakannya di sekitar Lembah Klang.

Pada hari ini, kumpulan terbabit yang mencetuskan ketakutan dan mengancam keselamatan awam, muncul secara tiba-tiba dengan penahanan terbaharu.

Anggotanya seorang demi seorang ditahan dalam satu serbuan di bawah operasi khas yang diberi nama Op Cantas Khas.

Bercakap kepada The Star, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata polis telah mengenal pasti ratusan ahli kumpulan tersebut dan suspek akan ditahan dengan serta merta.

"Dengan ketua mereka di bawah tahanan kita, tidak lama lagi kami akan berjaya menahan anggota kumpulan itu dan menumpaskan sindiket tersebut," katanya.

Mohmad berkata polis menyedari samseng tersebut mungkin cuba untuk meninggalkan negara atau menyembunyikan diri untuk lari daripada tahanan.

Katanya, siasatan menunjukkan sekurang-kurangnya empat ahli politik dengan gelaran Datuk merupakan sebahagain daripada anggota kumpulan kongsi gelap itu.

Gelaran tersebut menjadikan mereka lebih terkenal dan berkuasa.

Mohmad berkata kumpulan terbabit telah beroperasi selama beberapa tahun.

"Kami tidak akan berhenti mengambil tindakan ke atas mereka," katanya.

Mohmad berkata polis akan menggunakan beberapa undang-undang seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langlah Khas) 2012 (Sosma)  dan Kanun Keseksaan untuk menumpaskan kegiatan haram mereka.

Empat individu bergelar Datuk dan seorang Datuk Seri antara 60 anggota beberapa kumpulan kongsi gelap jenayah terancang yang ditahan pada tahun ini.

Seramai 34 daripada yang ditahan merupakan anggota Kumpulan 360 Devan, serpihan kumpulan Geng 36.

Geng 36 amat dikenali dalam jenayah rompakan, peras ugut, pengedaran dadah dan penculikan.

Seorang Datuk Seri merupakan pemimpin kumpulan Geng 24 Pulau Pinang.

Geng 360 Devan menjadi perhatian apabila melakukan serangan ke atas pesaingnya, terutamanya Geng Satu Hati yang cukup dikenali dengan kegiatan pengedaran dadah, kecurian kereta mewah dan rampasan.








Geng 360 Devan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain