suria

Tarian Singa Dalam Aquarium Tarikan Aquaria KLCC

Penyelam mengenakan kostum bagi membuat persembahan Tarian Singa dan Opera pada Majlis 'An Undersea Opera' sempena sambutan Tahun Baru Cina di Aquaria KLCC pada 3 Februari 2017. - BERNAMA

KUALA LUMPUR: "Unik dan mempersonakan"! Itu pandangan penulis sewaktu menyaksikan persembahan tarian singa di dalam akuarium Aquaria KLCC baru-baru ini.

Pastinya pengunjung lain turut berkongsi pandangan penulis dan terhibur dengan persembahan tarian singa yang diadakan sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina 2017. 

Persembahan selama 15 minit itu begitu pantas berakhir kerana mungkin asyiknya kami memerhatikan setiap gerakan tarian yang dipersembahkan. 

Sambil memerhatikan persembahan, persoalan terus berlegar di kepala penulis, "bagaimana mereka boleh menari di dalam air mengikut rentak muzik?" dan "bagaimana jika mereka digigit jerung semasa menari?" 

Usai persembahan, penulis bergegas untuk menemuramah kedua-dua penari tersebut dan berasa terkejut apabila mendapat tahu bahawa mereka anak muda Melayu!

Ini memandangkan tarian singa adalah sinonim dengan perayaan Tahun Baharu Cina dan lazimnya ia dipersembahan oleh kaum Cina.

Mungkin agak sukar untuk percaya tetapi itulah realitinya. 

Kedua-dua anak muda ini memberitahu penulis mereka belajar pergerakan tarian singa yang dipersembahkan melalui video YouTube dalam tempoh hanya seminggu! 

Menurut Muhamad Farhan Badri, 23 dan Muhammad Ariff Idros, 23, menerusi video itu, mereka mempelajari beberapa teknik tarian asas namun tidak semuanya dapat dipamerkan dalam persembahan mereka. 

"Walaupun ada belajar teknik yang agak 'advance', arus air yang agak kuat di dalam akuarium menyebabkan pergerakan menari lebih terbatas dan lebih perlahan.

"Tambahan kami perlu mengawal kostum tarian dan menggalas tangki gas di belakang kami," katanya kepada Bernama. 

Namun, bergerak di dalam air bukanlah perkara asing bagi Muhammad Ariff dan  Muhamad Farhan.

Mereka berdua adalah antara 15 orang individu yang bertanggungjawab menjaga kebajikan hidupan laut dan penyelenggaraan akuarium Aquaria KLCC yang digelar sebagai 'Aquaris'.

Muhammad Ariff dan Muhamad Farhan mula membuat persembahan tarian singa pada 2015.

Pengurusan pusat akuarium meminta mereka berdua menggantikan penari yang sebelum ini membuat persembahan. 

"Sudah menjadi satu 'tradisi' bagi Aquaris di sini untuk menjadi penari tarian singa pada Tahun Baharu Cina dan kami pun tidak terkecuali. 

"Walaupun selama ini tak pernah melakukan tarian singa, saya sahut cabaran itu dan berasa seronok pula dapat buat persembahan di hadapan penonton," kata Muhamad Farhan yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dan Pengurusan Sumber Akuatik dari Universiti Malaysia Sarawak. 

Jika Muhamad Farhan berasa bersemangat, berlainan pula halnya dengan Muhammad Ariff yang agak gementar ketika menerima tugasan itu namun turut berasa teruja. 

"Mana tidaknya, selama ini hanya lihat orang lain menari tarian singa tapi kali ini giliran kita pula. Dalam air pula tu. Memang cuaklah sebab takut tak dapat buat," katanya sambil tersenyum. 

Setiap perkara yang dilakukan tentunya ada dugaan tersendiri. Kedua-dua  anak muda ini turut tidak terkecuali.

Bagi Muhamad Ariff yang memiliki Ijazah Sarjana Pertanian (Akuakultur), Universti Putra Malaysia, antara halangan utama ketika membuat persembahan adalah apabila ada ikan dan penyu berenang lalu di hadapan mereka. 

"Jika ikan berada berhampiran kami, kami terpaksa berhenti sekejap sehinggalah ikan beredar pergi. Begitu juga dengan penyu. Kami sama sekali tidak boleh menyentuh mereka. 

"Cabaran lain apabila kami sering digigit penyu dan ianya memang sakit tetapi disebabkan sudah biasa menjadikan kami tidak begitu kisah," katanya. 

Jika ada penonton yang tertanya-tanya sama ada mereka akan terserempak dengan jerung, Muhamad Ariff menjawab, "Usah risau. Di atas kami ada tiga orang petugas keselamatan yang akan menghalau jerung atau ikan pari daripada memasuki kawasan tersebut," katanya. 

Menurut Muhamad Farhan, faktor bunyi juga menjadi cabaran buat mereka untuk menari seiiring dengan rentak muzik dan membuatkan mereka perlu menari berhampiran dengan cermin akuarium. 

"Semasa menari, kami perlu menjadi sangat berhati-hati untuk tidak bersentuhan dengan cermin dan mencalarkannya. Jika ini berlaku, cermin perlu ditukar dan sudah tentu memakan kos yang sangat tinggi kerana banyak perkara perlu diambil kira termasuk terpaksa mengosongkan akuarium dan lain-lain," katanya. 

Minat yang mendalam terhadap hidupan marin menyebabkan anak muda ini memilih bidang akuakultur dan meneruskan kerjaya dalam bidang yang sama. 

Muhamad Farhan berkata sepanjang menjalankan tugas sebagai Aquaris di Aquaria KLCC, terlalu banyak ilmu dan pengalaman yang diperolehi antaranya aspek pemeliharaan dan pemuliharaan haiwan. 

"Di sini, kami bertanggungjawab menjaga kebersihan akuarium dan hidupan laut selain memberi makanan. Kami juga boleh menjadi veterinar jika diperlukan," katanya yang memasang impian untuk bekerja di Dubai Aquarium  and  Underwater Zoo. 

Bagi Muhammad Ariff, beliau menganggap hubungan erat sesama petugas dan hidupan laut seperti sebuah keluarga yang besar dan faktor itu menyebabkan beliau bersemangat setiap kali mahu menjalankan tugas. 

"Saya juga ada pasang cita-cita mahu bekerja di salah sebuah akuarium bawah air di Jepun untuk mengenali dan mempelajari tentang jenis hidupan laut yang lebih berbeza," katanya mengakhiri perbualan. 

Aquaria KLCC mula memperkenalkan acara tarian singa di dalam air sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2011. 

Sejak itu, acara tersebut menjadi salah satu persembahan khas sempena perayaan Tahun Baru Cina dan ia boleh dikatakan satu-satunya acara sedemikian di Malaysia.

Tarian Singa, Aquaria KLCC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Murid Tahun Lima Ditemukan Lemas

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan