PETALING JAYA: Wanita mengandung dari Johor Bahru yang dijangkiti virus Zika telah selamat melahirkan bayi perempuan tanpa mikrosefali, kata Kementerian Kesihatan. Ibu berusia 28 tahun itu, wanita mengandung pertama di Malaysia yang positif ujian Zika melahirkan bayinya di sebuah hospital awam di Johor Bahru pada Khamis malam, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. "Bayi itu dilahirkan dengan saiz kepala normal. Kedua-dua ibu dan bayi dalam keadaan baik," katanya kepada The Star. Mikrosefali adalah situasi yang jarang berlaku di mana bayi yang baru lahir dengan saiz kepala lebih kecil atau ia tidak membesar lagi. Situasi ini akibat otak bayi yang tidak berkembang ketika dalam kandungan atau sebarang masalah yang dialami dalam tempoh sembilan bulan itu. Pada September lalu, ibu dari Taman Desa Harmoni yang suaminya bekerja di Singapura dijangkiti virus itu dan dia juga individu ketiga yang disahkan positif Zika. Ketika itu, usia kandungan wanita itu baru tiga bulan dan dia menunjukkan tanda positif dijangkiti virus berkenaan apabila mengalami deman, ruam dan sakit badan. Seterusnya, suaminya yang berusia 30 an dan bekerja sebagai chef telah disahkan sebagai pesakit keempat dijangkiti Zika. Dr Noor Hisham berkata, seorang lagi wanita mengandung berusia 36 tahun berasal dari Miri, Sarawak juga dikesan positif Zika . Semuanya, lapan individu disahkan menghidap Zika di Malaysia. Daripada jumlah itu, seorang maut, manakala pesakit lain dalam keadaan baik selepas menjalani rawatan dan dibenarkan pulang dari hospital.