suria

SPRM Kenal Pasti Penjawat Awam Ditaja Main Golf

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti beberapa penjawat awam yang masih berdegil bermain golf di luar negara dengan tajaan orang berkepentingan. 

Tanpa mendedahkan sebarang nama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata badan antirasuah itu sedang menjalankan siasatan dan proses mengumpul bukti sebelum tindakan diambil ke atas mereka.

"Mereka ini (penjawat awam) dipercayai masih berdegil dan tidak memandang serius amaran yang dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad sebelum ini supaya berhenti bermain golf di luar negara dengan tajaan orang berkepentingan," katanya kepada Bernama.

SPRM, katanya, tidak menghalang penjawat awam bermain golf namun ia menjadi isu apabila mereka ditaja pihak seperti kontraktor dan pembekal serta melibatkan rasuah dan salah guna kuasa.

Sambil berkata tiada lagi amaran akan diberikan SPRM kepada individu berkenaan, beliau menegaskan: "Sudah tiba masanya untuk mereka lebih berwaspada dengan perbuatan sendiri".

Azam berkata SPRM memandang serius perkara itu, malah telah mengambil tindakan terhadap beberapa individu sebelum ini kerana didapati sering ke luar negara untuk bermain golf dengan orang berkepentingan.

"Apa yang pasti tindakan tegas menanti mereka yang degil dan mungkin berfikir nama mereka tidak terdapat dalam senarai SPRM," katanya.

Menurutnya, individu-individu terbabit bukan sahaja ditaja kos perjalanan malah perbelanjaan untuk membeli-belah.

SPRM baru-baru ini menahan seorang ketua setiausaha sebuah kementerian bergelar Datuk dalam siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa yang turut membabitkan bermain golf di luar negara. -Bernama

Penjawat Awam, main golf, ditaja

Artikel Berikut

Artikel Lain