LUNDU: Seramai 162 daripada 188 pemilih awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu mengundi di dua pusat pengundian awalsekitar sini, Ahad. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengumumkan peratusan jumlah yang keluar mengundi setiap sejam sejak kedua-dua pusat pengundian itu dibuka 8 pagi tadi dalam satu khidmat pesanan ringkas, memaklumkan sehingga 5 petang, sebaik sahajapusat pengundian awal itu ditutup, 86.2 peratus didapati keluar mengundi. Dua pusat pengundian awal yang dibuka hari ini ialah di Dewan Masyarakat Kampung Sungai Lundu khusus buat pemilih dalam kalangan anggota polis, dan Dewan ULS Sampadi untuk anggota tentera. Walaupun pada sebelah pagi hujan dan renyai pada petang ini, tinjauan mendapati proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang masalah. PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandangnya, yang juga Ketua Menteri Sarawak ke-lima Tan Sri Adenan Satem akibat komplikasi jantung pada 11 Jan lepas di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan. Tarikh pengundian yang menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Reformasi Sarawak (STAR) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru ditetapkan pada 18 Februari ini. -Bernama