suria

Dego Ride: CEO Komited, Segera Ke JPJ Putrajaya

Nabil Feisal Bamadhaj.

PETALING JAYA: Hanya beberapa jam selepas diarahkan untuk tampil memberi keterangan, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj hadir ke Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Putrajaya, petang Selasa.

Bercakap kepada mStar Online, Nabil berkata, tindakan ‘drastik’ dengan segera ke Putrajaya itu sebagai tanda komitmennya untuk mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa bagi menyelesaikan isu membabitkan perkongsian pengangkutan menggunakan motosikal yang dilaksanakan syarikatnya.

Beliau bagaimanapun berkata, Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron tidak ada di pejabatnya sewaktu beliau tiba pada kira-kira pukul 3.30 petang Selasa.

“Saya telah meminta pegawai KP (Ketua Pengarah) untuk mengatur pertemuan kerana saya diberikan masa tujuh hari,” katanya.

Pada Selasa, JPJ meminta Nabil supaya tampil ke ibu pejabat pihak berkuasa itu untuk memberi keterangan susulan tindakan saman terhadap tiga penunggang perkhidmatan tersebut pada Isnin.

Nabil berkata, antara lain pertemuan di JPJ itu nanti diharap dapat mempertimbangkan supaya tindakan saman terhadap tiga penunggangnya ditarik balik.

“Penunggang kami merupakan golongan kurang berkemampuan, maka sebab itulah mereka menjadikan Dego Ride sebagai sumber pendapatan. Tindakan saman hanya akan menambahkan kesulitan mereka.

“Saya harap pertemuan itu juga dapat mencari penyelesaian terbaik berhubung perkhidmatan Dego Ride sebagaimana Uber dan Grab yang kini dibenarkan beroperasi,” katanya.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam kenyataannya pada Selasa bagaimanapun menegaskan kementerian tetap dengan keputusan mengharamkan perkhidmatan itu berikutan isu keselamatan penumpang.

Terdahulu, Pengarah Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Valluvan Veloo dalam sidang media berkata, ketiga-tiga penunggang itu dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 23 (2) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat.  

mStar Online pada Selasa melaporkan Nabil mengarahkan kira-kira 6,000 penunggang motosikalnya supaya menghentikan operasi serta-merta susulan arahan Kementerian Pengangkutan supaya pihaknya berbuat demikian serta-merta.

Beliau berkata, arahan tersebut dikeluarkan sehingga isu perkhidmatan perkongsian pengangkutan menggunakan motosikal itu diselesaikan dengan pihak berkuasa.

Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj, JPJ

Artikel Sebelum

Keputusan SPM 2016 Diumum 16 Mac

Artikel Berikut

Artikel Lain