suria

Selepas Katil, Jamal Angkut Keranda Ke SUK Selangor

SHAH ALAM: Pemimpin Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos, sekali lagi menarik perhatian ramai apabila mengangkut 16 keranda dalam kereta jenazah ke Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor disini. 

Mengenakan pakaian umpama seorang penggali kubur dengan kemeja-t putih dan seluar serta ikatan tuala di kepalanya, Jamal memegang cangkul dan menuntut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menjelaskan dakwaan penyalahgunaan dana Yayasan Warisan Anak Selangor.

Terdahulu, Jamal dilihat memandu kereta jenazah. Beliau tiba di pintu masuk bangunan itu pada kira-kira pukul 11 pagi, Selasa diikuti penyokongnya.

Beliau kemudiannya membawa keluar keranda dari dalam kereta jenazah dengan bantuan penyokongnya sambil berkata: "Ini untuk Azmin".

Ketika berucap kepada orang ramai yang semakin bertambah di situ, Jamal mendakwa wakil rakyat dan koordinator kawasan di Kepong, Wangsa Maju, Lembah Pantai, Jeram dan Gombak telah menyalahgunakan dana untuk Skim Mesra Usia Emas menerusi yayasan itu.

Skim itu dibentuk untuk membantu warga emas Selangor berusia lebih 60 tahun termasuk wang pengurusan jenazah.

Situasi turut tegang seketika apabila sekumpulan belia yang prihatin terhadap nasib penduduk Selangor menjerit, "Siapa perompak?"

Ada juga yang tidak bersetuju dengan tindakan Jamal itu berteriak, "balik" berulang kali kepada pemimpin Umno itu dan penyokongnya.

Anggota polis yang berkawal dan memantau situasi di situ kemudiannya campur tangan dan meminta dua kumpulan terlibat bersurai.

Susulan itu, Jamal dan penyokongnya beredar jauh dari pintu masuk ke bangunan itu untuk berucap dan seterusnya bersurai.

Pada Januari lalu, Jamal memprotes kegiatan rumah urut yang dikatakan berleluasa di negeri berkenaan dengan membawa katil ke lokasi sama.



Artikel Lain