suria

Wanita Maut Cuba Kejar Peragut

GAMBAR HIASAN

BACHOK: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum terlanggar tiang elektrik ketika mengejar seorang lelaki yang meragut begnya di Kampung Pak Elong, Tangok di sini, Rabu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, SAC Din Ahmad berkata Siti Rohani Wahab, 54, sedang menunggang motosikal sendirian sebelum seorang lelaki yang juga menaiki motosikal meragut beg yang diletakkan dalam raga motosikal mangsa.

Dalam kejadian pukul 8.15 pagi itu, mangsa dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kantin Universiti Malaysia Kelantan, Kampus Bachok di sini.

"Mangsa yang terkejut begnya diragut, terus mengejar suspek dalam jarak 800 meter sebelum berjaya menghampiri suspek namun motosikal mangsa dipercayai dihimpit suspek hingga terbabas dan melanggar tiang elektrik yang terletak di sebelah kanan jalan," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Din berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Katanya jenazah mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Bharu untuk bedah siasat dan polis sedang mengesan peragut terbabit.

"Saya menasihatkan orang ramai supaya jangan mengambil tindakan sendiri sebaliknya segera menghubungi polis sekiranya menjadi mangsa ragut kerana tindakan sebegini boleh mendatangkan bahaya," katanya. 

Seorang saksi, Syuhada Abd Malik, 24, berkata ketika kejadian beliau sedang bersarapan di kedainya dan melihat motosikal mangsa yang dalam perjalanan dari Kampung Telong di sini, dihimpit seorang lelaki sebelum mangsa terlanggar tiang elektrik dan terjatuh.

"Saya berlari ke arah mangsa yang terbaring di atas jalan dan mendapati mangsa dalam keadaan nazak sebelum dia menghembuskan nafas terakhir," katanya.

Sementara itu, anak mangsa, Nur Farah Wahida Che Hassan, 15, berkata ibunya keluar dari rumah di Telong, di sini pada pukul 6.30 pagi.

Beliau berkata sudah tiga tahun ibunya bekerja di kantin tersebut dan sering menggunakan laluan berkenaan untuk ke tempat kerja.

"Pagi tadi saya tidak mengesyaki apa-apa tetapi ibu banyak bercakap. Sebelum keluar saya sempat bersalaman dengannya dan dia keluar kerja seperti biasa dengan menggunakan motosikal.

"Kira-kira pukul 8.30 pagi tadi ada orang memberitahu ibu kemalangan dan meninggal dunia selepas diragut," katanya.

Beliau berkata bapanya, Che Hassan Che Ibrahim, 59, tiada di rumah kerana bekerja di Kuantan, Pahang dan pulang ke rumah sekali sebulan.

Peragut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain