suria

Ahli Keluarga Jong-nam Gagal Dihubungi Selepas Kes Bunuh

Kim Jong-nam.

PETALING JAYA: Ahli keluarga Kim Jong-nam yang mati dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) gagal dihubungi dan tidak kelihatan di kediaman mereka di Macau.

Portal berita Korea Selatan, Chosun Ilbo melaporkan mereka telah berkunjung ke dua hartanah Jong-nam di Macau pada Rabu iaitu sebuah apartmen lapan tingkat dan sebuah kondominium mewah tetapi gagal menemui ahli keluarganya.

Jong-nam berpindah ke kondominium tersebut bersama keluarganya pada 2008 bagi memudahkan dua anaknya untuk ke sekolah antarabangsa yang hanya terletak lima minit dari premis berkenaan.

Namun, Jong-nam berpindah dari kondominium tersebut pada 2011 selepas penduduk Korea Selatan mendapati anak lelakinya, Han-sol membawa pulang teman wanita warga Korea Selatan.

Chosun Ilbo melaporkan tiada tanda-tanda keluarga Jong-nam berada di sana.

Han-sol, 23, pada tahun lalu berkata dia menuju ke Macau ketika meninggalkan Perancis, lokasi dia melanjutkan pengajiannya.

Namun ekspatriat Korea Selatan di sini berkata mereka tidak pernah ternampak kelibat anak lelaki Jong-nam itu baru-baru ini.

Anak perempuan Jong-nam, Sol-hui, 18, yang baharu sahaja tamat belajar pada September lalu juga tidak kelihatan.

"Saya cuba menghubungi isteri Jong-nam selepas dimaklumkan mengenai berita pembunuhannya malam semalam tetapi telefon bimbitnya telah dimatikan.

"Mereka mungkin mempunyai pelan tindakan jika sesuatu buruk berlaku terhadapnya," kata seorang rakan keluarga itu.

Jong-nam menetap di Macau sekitar 2002 di mana dia memasuki negara itu menggunakan visa pelawat dan kemudian mendapat taraf kewarganegaraan.

Kim Jong-nam, pembunuhan, KLIA2

Artikel Lain