suria

Peguam Negara Ketuai 'Misi' Pulau Batu Puteh

PUTRAJAYA: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan mengetuai pasukan pakar yang mengendalikan semakan semula penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung Pulau Batu Puteh.

Enggan mendedahkan anggota pasukan berkaliber tinggi itu, Apandi berkata beliau yakin lapan pakar tempatan dan antarabangsa terbabit setanding dengan pasukan Singapura.

"Saya rahsiakan dahulu, saya tidak akan umum sekarang. Namun saya boleh beritahu anda, kami setanding dengan siapa juga yang dihantar Singapura dan saya sedang menumpukan kepada isu Pulau Batu Puteh.

"Setakat ini saya ada enam pakar tidak termasuk saya, dan berkemungkinan besar akan menambah seorang dua lagi. Saya akan umumkan individu-individu ini kemudian," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan Jabatan Peguam Negara, di sini Khamis.

Pada 3 Februari lalu, Malaysia memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap penghakiman ICJ mengenai Pulau Batu Puteh bersandarkan tiga dokumen yang baru didedahkan oleh United Kingdom.

Dokumen terbabit merupakan surat-menyurat dalaman pihak berkuasa tanah jajahan Singapura pada 1958, laporan insiden yang difailkan pada 1958 oleh pegawai tentera laut British dan peta berserta catatan mengenai operasi tentera laut dari tahun-tahun 1960-an.

Mohamed Apandi berkata beliau yakin bukti baharu itu boleh memberi keputusan yang memihak negara.

Ditanya mengenai tarikh prosiding kes, Peguam Negara itu berkata permohonan mesti disampaikan kepada Singapura berserta tempoh masa untuk Singapura memberi maklum balas sebelum kedua-dua pihak dipanggil ke ICJ di The Hague.

"Kemudian kami akan hadir di ICJ untuk tarikh sebutan dan mungkin kemudian menetapkan tarikh pendengaran. Bagaimanapun ICJ sangat sibuk dengan mitigasi lain antara negara-negara Afrika. Justeru, untuk dapatkan tarikh itu mungkin ambil masa, sama ada dalam tahun ini juga atau tahun depan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain