suria

Rakyat Korea Utara Tak Tahu Berita Kematian Jong-nam

PETALING JAYA: Rakyat Korea Utara dikatakan tidak menyedari tentang kematian Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin mereka kerana kerajaan negara itu mengawal ketat media tempatan, demikian menurut satu laporan.

Memetik sumber, Agensi Berita Yonhap di Korea Selatan melaporkan, walaupun berlaku penindasan rejim itu, ia hanya menunggu masa bagi berita mengenai kematian Jong-nam tersebar.

Sumber mendedahkan ramai penduduk Korea Utara mempunyai akses rahsia bagi mendapatkan maklumat luar, dan berita mengenai pembunuhan Jong-nam mula tular di kawasan sempadan dengan China.

Sumber kerajaan Korea Selatan berkata, tentera merancang untuk menggunakan pembesar suara di sempadan negara itu bagi memaklumkan kepada rakyat Korea Utara mengenai kematian Jong-nam.

Setakat ini, media Korea Utara tidak menunjukkan sebarang reaksi terhadap laporan media mengenai pembunuhan itu.

Malah Yonhap mendakwa ramai rakyat Korea Utara tidak menyedari kematian Jong-nam dan siapakah beliau.

"Saya tidak pernah dengar berita itu," kata seorang sumber yang tinggal di wilayah di Korea Utara bersempadan dengan China.

"Adakah dia Kim Jong-un, anak lelaki sulung kepada bekas pemimpin mendiang Kim Jong-il?

Jong-nam merupakan anak lelaki sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il. Dilaporkan, Jong-nam melawat kawasan pelacuran di Tokyo sebanyak beberapa kali, sekali gus hal tersebut memalukan bapanya.

Malah bapanya membatalkan lawatan ke China dan mengusir Jong-nam ke Macau yang dipercayai menggunakan pasport palsu Portugal.

Beliau dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) selepas diracun dua wanita pada Isnin.

Bagaimanapun, tidak dipastikan lagi sama ada kematian Jong-nam didalangi Korea Utara.

Artikel Lain