suria

PRK Tanjung Datu: Proses Pengundian Selesai

Anggota polis menutup pintu pagar tempat mengundi selepas proses mengundi selesai pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Tanjong Datu di Sekolah Kebangsaan Bumiputera pada 18 Februari 2017. - BERNAMA

LUNDU: Tiga lagi pusat pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu ditutup 5 petang Sabtu, menjadikan proses pengundian di kesemua 16 pusat pengundian selesai.

Tiga pusat pengundian terakhir yang ditutup ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Stunggang Lundu, Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua dan SK Bumiputera Lundu.

Sebelum ini, empat daripadanya ditutup pada 12 tengah hari, empat pusat pengundian pada 1 tengah hari dan lima lagi ditutup pada 4 petang.

Menurut laporan agensi berita Bernama, proses pengundian berjalan lancar walaupun pada awal pagi hujan rintik dan cuaca mendung pada tengah hari dan semakin cerah pada sebelah petang.

Kini Dewan Masyarakat Lundu menjadi tumpuan ramai, yang merupakan venue Pusat Penamaan Calon, Pusat Pengiraan Undi Awal dan Pusat Penjumlahan Undi.

PRK Tanjong Datu diadakan susulan kematian penyandangnya, yang juga Ketua Menteri Sarawak kelima Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu, di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan. 

Pilihan raya negeri Sarawak ke-11 Mei lalu menyaksikan Adenan, 72, memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi, yang hanya meraih 468 undi. PKR awal-awal lagi mengumumkan tidak akan bertanding dalam PRK ini.

PRK ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) yang merupakan balu Adenan, Datuk Amar Jamilah Anu, calon Parti Reformasi Negeri Sarawak (Star) Johnny Aput dan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) Baru, Rapelson Richard Hamit.

Suruhanjaya Pilihan Raya menjangkakan keputusan pilihan raya kecil Tanjong Datu akan diketahui seawal 8 malam.

Tanjung Datu

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain