KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman menjadi tumpuan pengamal media pada Ahad yang ingin mendapatkan perkembangan terkini kes kematian Kim Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-Un, di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) Isnin lepas. Pengamal media, termasuk media antarabangsa, mula berkumpul di hadapan Bukit Aman yang menjadi lokasi sidang media berhubung kes berkenaan seawal 12 tengah hari. Sidang media oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim itu dijadual pada 2.45 petang ini. Jong-nam, yang namanya dicatat sebagai Kim Chol dalam pasportnya, dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital selepas mengadu tidak sihat di klia2.-- Bernama